Ramai pemimpin veteran Kadazan dan Dusun menyifatkan semakin menyimpang daripada matlamat asal perayaan iaitu memperingati semangat padi dan bukan berseronok melampau.
KOTA KINABALU: Selama seminggu, rumah-rumah tradisional di pekarangan Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang berubah menjadi ‘pub’ atau ‘kelab malam’ Pesta Kaamatan yang berakhir Sabtu lalu.
Ia adalah sesuatu yang amat dikesali terutama oleh ramai pemimpin veteran Kadazan dan Dusun yang menyifatkan perayaan Kaamatan kali ini semakin menyimpang daripada matlamat asal perayaan iaitu memperingati semangat padi dan bukan berseronok melampau.
Dan tahun ini kata Datuk Justin Stimol, salah seorang pengasas KDCA, adalah yang paling teruk.
“Kita dapat saksikan hampir semua rumah tradisional berkelip-kelip pada waktu malam seperti pusat-pusat hiburan siap dipasang dengan set lengkap karaoke, kerusi-kerusi dan meja serta dan sudah tentu pelbagai jenis arak untuk dihidangkan kepada pengunjung.
“Kalau dulu setiap rumah menunjukkan persembahan tradisi seperti tarian, kraftangan dan apa saja yang menunjukkan kebudayaan suku kaum negeri ini, tetapi kali ini ia seolah-olah menjadi pusat hiburan,” katanya memberitahu FMT.
Menurut Stimol, penganjuran perayaan itu di peringkat daerah Penampang juga tersasar daripada tujual asal dengan pengisian yang tidak mencerminkan diri dan budaya orang-orang Kadazan.
Ketika pesta menuai katanya, orang ramai patut menari tarian Sumazau atau mana-mana tarian kaum di sini tetapi yang ketara dipersembahkan ialah tarian asing daripada Indonesia.
Semangat Bobohizan
Kata Justin, ia adalah seperti penghinaan kepada semangat Bobohizan (semangat padi) apabila pengacara juga lebih banyak bercakap bahasa Melayu sedangkan di peringkat daerah, kebanyakan yang datang adalah orang-orang tempatan yang boleh dan memahami bahasa itu.
“Bagaimana mempertahankan bahasa Kadazan atau Dusun jika acara Kaamatan lebih mengagungkan bahasa orang lain dan bukan bahasa sendiri. Adakah rakyat KDM tidak bangga dengan bahasa sendiri?” soalnya.
Kali ini katanya, Kaamatan bukan lagi seperti dulu dan semua ini adalah salah penganjur dan pemimpin KDCA.
Tinjauan FMT pada hari terakhir perayaan itu menunjukkan rumah-rumah tradisional dipenuhi dengan pengunjung yang seronok minum pelbagai alkohol, menari dan menyanyi dengan kuat.
Walaupun banyak lagu dan muzik tradisi dimainkan, namun ada diselitkan juga tarian-tarian asing seperti joget dan tarian dari Indonesia di mana ramai orang yang kelihatan ‘mabuk’ menari dan menyanyi dengan karaoke.
Pemandangan di beberapa rumah tradisi itu tidak ubah seperti sebuah pusat hiburan di kota-kota besar.
Cuma yang masih menarik untuk dikunjungi ialah rumah tradisi Murut dari Tenom yang ada ‘lansaran’ iaitu satu permainan seperti trampolin yang sentiasa penuh dikunjungi kanak-kanak dan disukai pelancong asing.
Ramai mabuk
Rumah tradisi Rungus dari Kudat juga masih kekal dengan fungsinya menunjuk dan menjual pelbagai kraf tangan diperbuat daripada manik.
Malangnya, rumah-rumah dari Penampang, Papar, Tambunan dan Kota Belud agak mengecewakan kerana tidak banyak aktiviti kebudayaan di sana. Terlalu banyak arak disajikan dan ramai kelihatan mabuk.
Sementara itu, bekas timbalan presiden KDCA Richard Libun Adou menggesa persatuan itu melakukan sesuatu yang benar-benar mencerminkan perayaan itu supaya tidak tersasar daripada tujuan ianya diadakan.
“Semuanya bercampur-aduk dan cuai. Saya berasa kecewa kerana makna sebenar Kaamaan tercemar dengan kegiatan bukan tradisional akibat minum arak berlebihan, terutama di pekarangan rumah-rumah tradisional.
“Saya bangga dengan warisan kebudayan saya. Tetapi saya terpaksa keluar bersama kawan dari Kuching tidak lama selepas berada di sana kerana berasa malu dengan apa yang saya nampak,” katanya.
Menurut Richard, dia terkejut melihat rumah-rumah tradisional padat dengan sesi karaoke dengan bunyi yang sangat kuat dengan pemandangan ramai mabuk.
Katanya, dia menjangkakan sekurang-kurangnya ada pameran dan persembahan kebudayaan seperti sumazau, muzik tradisional dan pameran kraf tangan di sana.
Budaya barat
Tetapi KDCA membenarkan rumah-rumah ini menjadi tempat untuk minum pelbagai alkohol dan sesi menyanyi dengan unsur-unsur pencemaran budaya barat.
Katanya, seminggu sebelum acara kemuncak Kaamatan diadakan pada 30 dan 31 Mei, Hongkod seolah-olah dijadikan kelab-kelab malamdengan rumah-rumah tradisional dipasang dengan karaoke dan sesi minum dengan lampu dimalapkan rancak diadakan.
“Di manakah semangat Kaamatan berasaskan nilai-nilai murni dan paparan warisan budaya tulen? Ia kelihatan seperti penganjur sendiri mempromosikan pesta minum-minum satu minggu sebelum acara kemuncak Kaamatan.
“Sebagai ahli dan bekas pemimpin KDCA, saya amat kecewa persatuan ini menggalakkan kegiatan yang tidak sihat seolah-olah mereka tidak mempunyai kreativiti untuk membawa paparan lebih artistik warisan orang kita selain daripada keburukan mabuk-mabuk,” tambah beliau.
Huguan Siou katanya, patut melihat sendiri kemerosotan penganjuran ini dan memastikan sambutan tahun depan mempunyai paparan budaya yang lebih mulia.
Pusat kebudayaan KDCA seluas 3.2 hektar ada 11 rumah tradisi pelbagai etnik Sabah.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.