PBS minta kerajaan Musa Aman tegas dalam isu royalti minyak

Tuesday, 10 June 2014

Sebagai negeri di mana terletaknya telaga telaga minyak yang menjadi sumber utama dana Kerajaan Negara, Sabah tidak seharusnya menghadapi kekurangan dalam pembangunan, khususnya dari segi pembangunan keperluan asas.

KENINGAU: Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat, Datuk Jake Jikulin Nointin berkata, sudah tiba masanya untuk pemimpin dan Kerajaan Negeri Sabah supaya lebih tegas dan konsisten dalam usahanya untuk meminta kenaikan kepada kadar royalti minyak dari Petronas.

Katanya, sememangnya Kerajaan Negeri Sabah, yang dipimpin oleh Datuk Seri Musa Haji Aman, sentiasa berusaha dengan penuh komitmen untuk menjaga kepentingan rakyat Sabah selama ini.

Tetapi katanya, dalam perkara royalti minyak, satu pendekatan yang lebih tegas harus diambil kira kerana sudah ketara betul bahawa cara yang digunakan sebelum ini, iaitu berbincang secara diplomasi dan banyak bertolak ansur, tidak memberi kesan yang memuaskan.

”Contohnya, kita dimaklumkan bahawa perkara royalti minyak telah dikemukakan kepada Perdana Menteri sejak 2008. Tetapi sekarang sudah enam tahun berlalu, belum ada tindakan yang wajar telah diambil.

Mungkin jikalau Ketua Menteri Sarawak tidak menimbulkan perkara royalti minyak baru-baru ini, perkara itu akan terbiar begitu saja,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, kelmarin.

Jake yang juga Ketua Bahagian PBS Liawan berkata, penambahan kepada kadar royalti minyak dari Petronas, yang kini hanya 5 peratus, akan memastikan pembangunan di Negeri Sabah, yang mana ia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri negeri di Semenanjung Malaysia, berterusan dan mencukupi.

Tegasnya, sebagai negeri di mana terletaknya telaga telaga minyak yang menjadi sumber utama dana Kerajaan Negara, Sabah tidak seharusnya menghadapi kekurangan dalam pembangunan, khususnya dari segi pembangunan keperluan asas.

Tetapi katanya, sungguh menyedihkan bahawa banyak lagi kawasan kawasan di Negeri ini yang masih belum mempunyai keperluan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih atau jalan raya yang belum mencukupi atau memuaskan.

Dalam masa yang sama Jake melahirkan merasa kecewa apabila ada beberapa pemimpin dari Negeri Sabah yang cuba mempertahankan kadar 5 peratus royalti minyak yang sedang diterima oleh Negeri Sabah dari Petronas dengan alasan bahawa Negeri Sabah sedang menerima geran pembangunan yang besar setiap tahun dari Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, ini sungguh menghairankan kerana pemimpin-pemimpin itu, sepatutnya, lebih tahu bahawa geran pembangunan dari Kerajaan Persekutuan adalah berlainan daripada royalti minyak.

”Royalti Minyak disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa penuh terhadap pengurusan dan penggunaan dana tersebut. Manakala geran pembangunan, seperti apa yang berlaku ketika ini, adalah di bawah penguasaan Kerajaan Persekutuan dari segi pengurusan dan penggunaan.

“Saya harap pemimpin- pemimpin tersebut asingkan kepentingan peribadi mereka dan dahulukan kepentingan Negeri dan rakyat Sabah,” jelasnya lagi.

Oleh yang demikian kata Jake, beliau harap semua pihak termasuk wakil wakil rakyat dari parti pembangkang, bekerjasama dan membantu Kerajaan Negeri Sabah untuk memastikan Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengarah Petronas menaikkan kadar royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Sabah kepada 20 peratus dengan segera.

”Sebagai permulaan dan tanda keikhlasan dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam perkara ini, kita meminta agar pembayaran 5 peratus yang Petronas kini membayar kepada Kerajaan Persekutuan disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sabah dengan serta merta,” kata Jake.

“Kita juga harus mendesak Kerajaan Persekutuan supaya mengarah pihak Petronas untuk memberi ruang kepada anak tempatan Sabah untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.