Dakwaan Musa tutup kelemahan BN

Monday 9 June 2014

Kononnya BN Sabah telah meminta royalti minyak dinaikkan pada tahun 2008, tapi apa keputusannya hingga ke hari ini? dan kenapa Musa Aman teriak sambil berkata "apa mau review" ketika Jeffrey Kitingan bangkitkan isu royalti Minyak?..

KOTA KINABALU: Setiausaha Organisasi DAP Sabah, Junz Wong berkata, dakwaan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bahawa BN telah meminta untuk semakan royalti minyak enam tahun yang lalu hanyalah satu cubaan terdesak untuk menutup kepimpinan lemah BN negeri itu.

“Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman yang memberi respon bahawa BN Sabah telah meminta royalti minyak dinaikkan pada tahun 2008 tidak masuk akal,” kata Junz.

Musa mendakwa BN Sabah telah menyerahkan sebuah memo dalaman berhubung perkara itu kepada Putrajaya dan menyatakan ianya melalui saluran yang betul. Beliau juga mendakwa begitulah cara BN ‘membuat kerja’ di Sabah.

Pertamanya kata Junz, apa yang dapat dilihat, tindakan itu menunjukkan kepimpinan Musa Aman yang lemah dan tidak tahu bagaimana untuk memperjuangkan kepentingan Sabah.

“Kita ambil contoh bagaimana kerajaan Sarawak sendiri menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi respon kepada permintaan rasmi mereka terhadap permohonan menaikkan royalti minyak,” kata Junz.

Dalam hal itu, Najib memberi maklumbalas kurang dari satu bulan.

Maklumbalas itu hanya menyebut Sarawak dan tidak menyebut Sabah dalam pertimbangannya.

Sebaliknya kata Junz, berapa lama lagi rakyat Sabah harus menunggu maklumbalas Najib untuk menjawab permohonan dalaman Musa?

Hingga sekarang, tidak ada sebarang perkembangan atau maklumbalas rasmi berhubung royalti Sabah ini, katanya.

“Jadi, apa yang Musa cuba jelaskan di sini?” soal Junz.

“Keduanya, seingat saya, Musa pernah memberi maklumbalas secara peribadi terhadap gesaan pembangkang bagi semakan semula royalti minyak di sidang DUN lalu.

Katanya, Musa hampir menjerit kepada kami apa yang perlu disemak semula.

“Jika memang itu maksud yang dia katakan, beliau hanya mengelirukan orang awam untuk bertanyakan mengenai kenaikan royalti minyak enam tahun lalu kerana berdasarkan kenyataannya, tidak ada apa yang perlu disemak semula,” ujar Junz.

Junz yang juga ADUN Likas menggesa Musa Aman supaya mendedahkan kandungan memo dalaman yang dihantar ke Putrajaya kepada orang awam.

“Apapun, Musa terlepas peluang keemasan dalam semakan semula royalti minyak 20 peratus dalam sidang DUN lalu.

“Sekarang Musa hanya mampu melihat betapa hebatnya kepimpinan BN Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam usaha kempen untuk menaikkan royalti minyak mereka,” ujar beliau.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.