MCA Penampang kata semua bahagian partinya memihak kepada Mojuntin untuk dinaikkan pada kedudukan penting itu.
PENAMPANG: Mampukah Datuk Donald Mojuntin mengisi kasut yang ditinggalkan oleh bapanya, mendiang Datuk Peter untuk menyatupadukan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut serta orang asal lain yang berpecah teruk ketika ini dari segi politik?
Tiada sesiapa dapat menjawab soalan ini, termasuk Mojuntin kerana politik adalah seni yang mempunyai pelbagai kemungkinan.
Namun, tidak mustahil Mojuntin dapat melakukan sesuatu untuk meneruskan legasi bapanya dengan menjadi alat untuk menyatukan perpecahan penduduk asal, terutama orang-orang Kadazandusun yang semakin besar retak pecahnya.
Mojuntin menceritakan bagaimana bapanya pernah memberitahunya untuk ‘mempertahankan hak’ setiap kali berdepan dengan cabaran.
“Ketika saya berada di sekolah rendah, saya sering dibuli dan selalu balik rumah dipenuhi kekotoran kerana bergaduh. Bapa saya akan marah dan ketika adik beradik yang lain sedang makan tengahari, saya akan dileterinya.
“Bapa akan berkata ‘apabila orang buli kau, kau pertahankan diri dan pendirian’,” katanya suatu ketika dulu.
Peter Mojuntin bersama beberapa menteri dalam kerajaan Berjaya yang menang pilihan raya pada 1976, terbunuh dalam nahas kapal terbang hampir dua bulan kemudian pada Jun 1976.
Dan apabila MCA Penampang baru-baru ini menyatakan sokongan penuh kepada idea untuk menjadikan Mojuntin yang ketika ini adalah Setiausaha Agung Upko sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Penampang, ia mungkin menjadi pembuka laluan kepadanya untuk merealisasikan legasi bapanya.
Baru-baru ini, Pengerusi MCA Penampang, Datuk Peter Kong Sing Chu, berkata semua bahagian parti itu memihak kepada Mojuntin untuk dinaikkan pada kedudukan penting itu, terutama selepas ‘orang kuat’ Upko Tan Sri Bernard Dompok melepaskan semua jawatan sebagai presiden Upko dan pengerusi Upko Penampang.
Kerjasama MCA
Kedudukan (pengerusi Upko Penampang) ini telah dibiarkan kosong berikut keputusan Dompok untuk melepaskan kedudukannya sebagai presiden Upko pada bulan lalu.
Beliau juga telah meletak jawatan sebagai pengerusi Penampang BN.
“Tan Sri (Dompok) meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN Penampang tetapi sehingga sekarang tiada jawapan rasmi kepada peletakan jawatan itu tetapi beliau telah mengesyorkan saya untuk jawatan itu,” katanya.
Atas sebab ini, beliau berkata, mengapa tidak Penampang Upko dan MCA bekerjasama bagi membolehkan BN mendapatkan semula kerusi Penampang, Moyog dan Kepayan daripada genggaman pembangkang.
Beliau berkata demikian di sidang media bersama Upko dan MCA Penampang di majlis penyerahan sumbangan Tadau Kaamatan kepada lapan JKKK di Wisma Kinsabina, baru-baru ini.
Mengucapkan terima kasih kepada timbalannya, Francis Goh untuk dana merayakan Pesta Menuai, beliau berharap, kerjasama MCA dengan Upko akan membolehkan BN merampas kawasan pilihan raya daripada pihak pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
Mojuntin berkata, kedua-dua Upko dan MCA Penampang tidak dikecualikan daripada parti-parti komponen BN yang lain dalam kawasan pilihan raya.
“Tetapi kita menyedari hakikat bahawa kita mesti menjadi peneraju dalam usaha-usaha yang mahu dibawa oleh kerajaan,” katanya.
BN di sini katanya, menghormati tsunami yang berlaku di mana semua kerusi – Penampang, Moyog dan Kepayan jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lepas.
“Kami mahu membawa kesejahteraan dan pembangunan bagi Penampang dan kami mahu perpaduan dikekalkan di sini walaupun ada pelbagai etnik di sini.
Kami mahu Penampang menjadi contoh utama kepada kepelbagaian bangsa dan agama,” katanya, menambah mereka menghormati pilihan rakyat dalam pilihan raya sebelum ini tetapi mereka tidak akan mengalah.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.