Lagi kapal bawa 400 penumpang karam

Tuesday 13 May 2014

14 terkorban, 200 orang sudah diselamatkan dan baki 186 mangsa lagi masih belum ditemui..

ROME, ITALI: Sebuah kapal pendatang asing sarat dengan 400 penumpang karam di perairan antara Libya dan Itali lewat semalam dalam siri tragedi bot karam terbaru di Lautan Mediterranean. 

Tentera laut Itali berkata, 14 terkorban, 200 orang sudah diselamatkan selepas kapal itu tenggelam dan baki 186 mangsa lagi masih belum ditemui. 

“14 mayat sudah diperoleh kini. Kakitangan perubatan di Sirio dan Grecale kini memberikan bantuan kepada mereka yang terselamat,” kata tentera laut Itali dalam laman Twitter, merujuk kepada dua kapal perang di tempat kejadian. 

Dua kapal peronda sempadan Itali dan beberapa kapal perdagangan dikerah di kawasan itu dalam operasi menyelamat di tengah laut, kata sumber tentera laut berkenaan. Helikopter turut digunakan dalam misi itu. 

Libya sudah lama menjadi jalan mudah warga Afrika mencari kehidupan lebih baik di Eropah dan jumlah transit haram daripada pesisir pantai negara itu kini semakin meningkat. 

Beratus-ratus pendatang asing mendarat di Itali hampir setiap hari, kebanyakan daripada mereka adalah pencari suaka dari Eritrea, Somalia dan Syria. 

Insiden kapal karam terbaru itu berlaku sekitar jam 1100 GMT waktu tempatan dan kira-kira 100 batu nautika (185 kilometer) di selatan Pulau Lampedusa, lokasi paling selatan Itali. Kawasan itu lebih dekat dengan pesisir pantai Libya berbanding Itali. - AFP

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.