Panda: Bukan keutamaan kita

Friday, 23 May 2014

Adakah dengan membawa pasangan panda dari China ini dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap masalah-malasah yang berlaku seperti kenaikkan harga barang, harga rumah yang tidak munasabah, masalah sosial yang semakin meruncing dan masalah-masalah lain?

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Dr Jacob George kesal dengan tindakan pihak kerajaan yang membawa dua ekor pasangan Panda Gergasi dari China iaitu Fu Wa dan Feng Yi.

Katanya, sepatutnya pihak kerajaan lebih mengutamakan, menghargai, dan memfokuskan haiwan dan hidupan liar yang berada di tanah air sendiri yang semakin lama semakin terancam.

“Haiwan dan hidupan liar seperti orang utan, gajah, dan burung enggang sepatutnya lebih menjadi keutamaan pihak kerajaan. Hal ini seolah-olah haiwan dan hidupan liar di negara kita telah di anaktirikan,” ujarnya swaktu dihubungi oleh FMT.

Katanya, pihak kerajaan telah melakukan pembaziran kerana membelanjakan jutaan ringgit bagi membina sangkar dan membayar sewa kepada Negara China selain perlu menanggung kos penjagaan yang tinggi.

“Adakah dengan membawa pasangan panda dari China ini dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap masalah-malasah yang berlaku seperti kenaikkan harga barang, harga rumah yang tidak munasabah, masalah sosial yang semakin meruncing dan masalah-masalah lain?” soalnya.

Ujar Dr Jacob lagi, rakyat kini tidak sama lagi seperti rakyat 30 tahun lepas, kerana rakyat pada masa kini semakin bijak.

“Ada banyak lagi isu yang lebih penting berbanding isu membawa masuk pasangan panda ini. Kita seolah-olah tidak realistik dan apakah kelebihannya terhadap masyarakat,” katanya.

Jelasnya lagi, kos untuk membawa pasangan panda ini sangat tinggi dan telah menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat.

Kerajaan gemar membazir

Dalam pada masa yang sama, jelas menunjukkan bahawa sikap kerajaan yang gemar membazir terhadap sesuatu perkara yang bukannya menjadi keutamaan.

“Pihak kerajaan menasihatkan rakyat supaya berjimat, tetapi tindakan rakyat pula sebaliknya. Cakap tidak serupa bikin dan sejujurnya saya berasa amat kecewa dengan tindakan pihak kerajaan,” katanya.

Bagi pensyarah dan penyelidik ekonomi tempatan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), James Alin, beliau menyatakan bahawa walaupun perjanjian panda tersebut telah dibuat sebelum kejadian kehilangan pesawat MH370, kedatangan mereka (pasangan panda) itu tidak akan membawa apa-apa kesan untuk memperbaiki hubungan Malaysia-China.

“Lebih memanfaatkan sekiranya duit tersebut dapat disalurkan kepada usaha tempatan untuk melindungi binatang yang semakin lama semakin pupus seperti penyu,” katanya.

Ujarnya, di Semenanjung Malaysia, hanya sebilangan spesis telur penyu sahaja yang salah dari segi undang-undang untuk dimakan.

Tambahnya, dalam keadaan telur, adalah susah untuk membezakan spesis penyu. Hal ini menyebabkan penyu spesis ‘leatherback’ yang dahulunya sering muncul di pantai Terengganu kini telah hilang kesannya di pantai Semenanjung.

“Adalah lebih baik sekiranya duit yang dibelanjakan untuk menjaga pasangan panda tersebut digunakan untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepupusan penyu dan digunakan untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat bagi melindungi penyu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.