Biarawati meninggal dunia selepas diserang dengan topi keledar

Wednesday, 21 May 2014

Polis hari ini berkata kematian Sister Juliana Lim selepas diserang menggunakan topi keledar dalam cubaan merompak diklasifikasikan sebagai kes bunuh. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat berhubung kes itu.

Sister Juliana Lim meninggal dunia di Hospital Seremban tengah hari tadi, enam hari selepas dia dan rakannya diserang dengan topi keledar di perkarangan luar Gereja Visitation, Seremban.

Lim, 68, semasa pagi kejadian bersama seorang lagi biarawati, Sister Marie Rose Teng, berjalan kaki menuju ke gereja untuk berdoa sebelum diserang dan dirompak.

Akibat serangan itu, Lim berada dalam koma manakala Teng, 80, yang hanya lebam di badan dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.

Menurut polis Seremban, Lim meninggal dunia pada pukul 3.25 petang tadi akibat komplikasi kecederaan yang dialaminya.

Ketika kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi Rabu minggu lalu, Lim dan Teng yang berpakaian biasa diserang oleh lelaki tidak dikenali.

Penyerang tersebut yang memakai topi keledar dan membawa lampu suluh kemudiannya lari menaiki motosikal dan meninggalkan tempat kejadian.

Dua biarawati berkenaan ditemui terbaring ketika pintu gereja dibuka untuk upacara keagamaan pada waktu pagi.

Ahad lalu, Ahli Parlimen PAS-Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa ketika menziarahi Lim di hospital berkata, beliau meminta Kementerian Kesihatan menghantar pakar neurologi ke Seremban untuk menerangkan situasi sebenar kepada keluarga Lim.

Jumaat lalu, Gereja Visitation dalam satu kenyataan menerangkan, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup mendapati penunggang motosikal berlegar sekitar 6.05 pagi menunggu mangsa, membuat pusingan U dan masuk melalui pintu pagar 2 selepas dua biarawati berkenaan memandu masuk ruang letak kereta gereja.

Penyerang itu kemudiannya dipercayai meragut beg yang dibawa biarawati terbabit mengandungi Bible, buku agama, tasbih dan sejumlah kecil wang tunai.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.