Hubungan Malaysia - China: Lebih baik jadi panda

Thursday, 22 May 2014

Kos kasar keseluruhan dihanguskan untuk tempoh 10 tahun sebanyak RM70 juta, hanya untuk memelihara 2 ekor panda sahaja.. Syabas pemimpin Melayu umno!

Hubungan Malaysia - China terjalin sejak sekian lama. Sejak zaman sebelum Kesultanan Melaka lagi hubungan Tanah Melayu dan China terjalin atas urusan perdagangan. Laksamana Cheng Ho dan Puteri Hang Li Po memahatkan nama menjadi lagenda di dalam sejarah hubungan Tanah Melayu semasa kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan negara China. Menunjukkan keistimewaan hubungan dan keakraban setiakawan antara dua negara.

Semasa era Perdana Menteri Malaysia kedua, allahyarham Tun Razak Hussein hubungan ini terus diperkukuhkan dengan melakukan lawatan ke China. Sehingga kini, setiap tahun Malaysia sentiasa menyambut ulang tahun termeterainya hubungan diplomatik ini sebagai tanda penghargaan kepada keistimewaan jalinan rakan bersama China.

Kedatangan dua panda gergasi dari China ke Malaysia, Wu Fa dan Feng Yi, yang dipinjamkan sebagai simbol jalinan diplomatik 40 tahun Malaysia-China mengundang rasa tidak senang di kalangan rakyat. Bukan mempertikaikan hubungan dengan China, tetapi "simbolik" yang cuba digahkan tersebut menjadi pertikaian. Syarat pinjaman panda ini dilihat seperti Malaysia terlalu bermurah hati dengan China untuk menanggung kos "kurang cerdik" dengan imbuhan yang diperolehi.

Untuk membina "banglo" untuk 2 panda sahaja menelan belanja RM25 juta. RM3 juta setahun harga yang perlu dibayar kepada China untuk memelihara 2 ekor ikon China ini. Untuk tempoh 10 tahun sebanyak RM30 juta semuanya.

Tidak cukup dengan itu, kos penjagaan RM1.5 juta setahun terpaksa disediakan melibatkan RM15 juta untuk 10 tahun. Kasarnya kos keseluruhan dihanguskan untuk tempoh 10 tahun sebanyak RM70 juta, hanya untuk memelihara 2 ekor panda sahaja.

Di saat, rakyat semakin dihempap dengan pertambahan kos sara hidup yang semakin meninggi, jumlah RM70 juta duit pembayar cukai yang terpaksa dihanguskan amat menghiris hati. Pemimpin "bangsawan" negara seolah-olah tidak langsung merasai sedikit pun perit rakyat marhaen di bawah yang terpaksa berhempas-pulas untuk menyara kehidupan.

Apa rasional "simbolik" yang dibuat sebegitu rupa? Kenapa perlu pelihara panda? Pelbagai soalan bermain di fikiran yang buntu menagih jawapan. Rasanya banyak lagi cara lebih cerdik dan menguntungkan boleh dibuat untuk menunjukkan keakraban Malaysia - China.

Orang Melayu sifatnya bermurah hati, sentiasa mengalah walaupun rugi, tidak suka bergaduh dan menghormati kawan. Perjanjian yang dibuat untuk memelihara 2 panda ini seperti menunjukkan kelemahan pemimpin Melayu.

Malaysia terlalu menghormati kawan dan bermurah hati untuk menjaga hati kawan walaupun hati "anak-anak" sendiri terluka. Berapa banyak rumah kos rendah dapat dibina dengan dana RM70 juta? Beribu rakyat dapat dibantu. Pemimpin Melayu perlu tegas dan berprinsip dalam membelanjakan wang amanah rakyat, bukan hanya mengalah tidak bertempat.

Tepat kata orang dulu, "Kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan". Mungkin perlu diubah pepatah "Panda di China disusukan, rakyat sendiri kelaparan". Itulah persepsi yang terbina hasil perjanjian pinjaman ini. Selama 10 tahun, 2 panda ini akan berkongsi kemakmuran negara bertuah ini dan tinggal bersama rakyat Malaysia. Kita berkongsi kekayaan bersama Wu Fa dan Feng Yi.

Siapa lebih bertuah?

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.