Jangan heret Borneo ke kancah ekstremis agama dan kaum

Monday 19 May 2014

Kebangkitan ekstremis agama dan kaum menyebabkan janji pengasas negara hidup bersama secara harmoni berkecai.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Bumburing memberi amaran supaya kemelut ekstremis agama dan kaum yang berlaku di semenanjung Malaysia tidak diheret ke negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.

Wilfred berkata, kemelut yang berlaku di semenanjung Malaysia mengecewakan rakyat di Borneo.

"Rakyat Sabah dan Sarawak sangat kecewa dengan apa yang berlaku di Malaysia," kata pengasas parti Angkatan Perubahan Sabah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa yang lantang mencabar penganut agama Kristian tidak disenangi orang ramai khususnya penduduk di Sabah dan Sarawak yang majoritinya merupakan penganut Kristian.

Baru-baru ini, agama Kristian juga diserang menerusi satu forum anjuran universiti Bumiputera, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendakwa mereka sebagai ancaman kepada penganut agama Islam yang membentuk majoriti rakyat Malaysia.

"Timbulnya ekstremis agama dan kaum di luar jangkaan dan imaginasi rakyat Malaysia yang hidup aman damai sejak setengah abad," katanya.

Beliau berkata, kebangkitan ekstremis agama dan kaum menyebabkan janji pengasas negara hidup bersama secara harmoni berkecai.

"Dengan semua yang terjadi ini, visi dan impian selama ini berkecai," katanya.

Sementara itu, Wilfred juga mempersoalkan usaha menimbulkan semula isu pelaksanaan hukum hudud yang disifatkannya melanggar semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang menyaksikan pembentukan Malaysia selepas penggabungan Sabah dan Sarawak.

"Malaysia diasaskan menerusi bentuk sekular dan tidak boleh ditukar selepas 50 tahun.

"Malaysia mesti meneruskan sebagai sebuah negara seperti yang dihajati dan dijanjikan bapa pengasas negara kita," katanya.

Selain itu, beliau menggesa pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman supaya menyatakan pendirian yang tegas dalam isu ekstremis agama dan kaum supaya tidak merebak ke negeri tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.