Isma hilang fokus dan jahil, dakwa Aziz

Wednesday 21 May 2014

Selain bersikap jahil dalam sejarah, Isma juga enggan mengakui bahawa yang tergugat itu adalah kedudukan Melayu 'elit' iaitu Melayu Umno dan PBB..

KUCHING: Tindakan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang sejak akhir-akhir ini mengeluarkan kenyataan yang provokatif merupakan satu tindakan yang mencemarkan Islam.

Jurucakap DAP, Abdul Aziz Isa berkata Isma sudah hilang modal dan mereka sanggup menjadikan DAP sebagai mangsa mereka seterusnya.

“Isma bukan sebuah parti politik dan mereka tidak seharusnya mengheret DAP dalam modal mereka,

“Seharusnnya Isma fokus kepada mendidik umat Islam menjadi manusia yang bersih, terhindar dari rasuah dan tidak melakukan jenayah,

“Isma ‘melebih-lebih’ dalam politik semata-mata demi menjaga kepentingan sesetengah pihak,” tegas beliau yang mengulas mengenai tindak tanduk beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba menanam unsur kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Aziz juga menambah DAP sekarang banyak membuat projek kemasyarakatan seperti Impian Sarawak dan Impian Sabah selain penubuhan ‘Go Rural’ bagi menembusi kawasan luar bandar terutamanya di Sarawak.

Sebaliknya, Isma sekarang banyak membuat projek menghasut masyarakat Islam untuk membenci orang Kristian, memecahbelahkan perpaduan antara kaum dan menanam benih hasad dengki di kalangan masyarakat Melayu, tegas Aziz.

“DAP tidak pernah menentang Islam malah DAP berjanji untuk mempertahankan Kuasa Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu, dan Agama Islam sebagai agama rasmi,

“Malah sebenarnya, rusuhan 13 Mei berlaku disebabkan provokasi pemuda UMNO yang mengapi-apikan orang Melayu untuk membunuh orang Cina. Tidak ada kaitan dengan sekular,

Tanah Melayu milik Orang Asli

“Isma perlu faham bahawa Melayu, Cina dan India semua pendatang dan Tanah Melayu ini asalnya milik orang Asli,

Beliau juga menambah bahawa Isma bersikap ‘jahil’ dalam sejarah dan jangan menuduh kemenangan DAP menyebabkan kedudukan Melayu tergugat.

Kedudukan Melayu ‘elit’ iaitu Melayu Umno dan PBB yang tergugat sebenarnya.

“DAP sangat konsisten dalam memerangi ketidakadilan, kebobrokan dan kezaliman rejim BN yang disokong oleh Isma dan Perkasa,

“Selain itu, apakah motif Isma menubuhkan cawangan mereka di Sarawak iaitu di Tupong? Adakah Isma mencari modal baru untuk menghasut orang Sarawak berpecah belah?

“Antara Isma dan DAP, umum mengetahui Isma yang lebih mengancam perpaduan dan keharmonian di Malaysia,” katanya.

Beliau juga turut mencabar Isma untuk memohon kepada ROS menjadi parti politik dan bertanding pada PRU14 dan PRN11 Sarawak yang akan datang.

Sementara itu, dalam masa yang berasingan Isma menafikan pembabitan mereka mengenai ceramah yang dianjurkan di UiTM pada 6 Mei lalu.

Jurucakap Isma, Aznan Hasan dalam satu kenyataan berkata Isma menggesa untuk menjunjung Perlembagaan, termasuk hak Bumiputra dan Melayu, dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan kerana itu asas keharmonian.

Aziz difahamkan akan membuat laporan polis dalam masa yang terdekat agar pihak berkaitan membuat siasatan ke atas Isma.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.