Penduduk marah SESB seringkali catu bekalan elektrik

Tuesday 13 May 2014

Apabila ketiadaan bekalan elektrik, masalah gangguan bekalan air turut timbul kerana pihak Jabatan Air Tenom tidak dapat mengepam air untuk di salurkan ke rumah-rumah..

TENOM: Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi mempersoalkan langkah Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB) mengenakan catuan bekalan elektrik terlalu kerap terhadap penduduk di daerah ini secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pelbagai masalah telah timbul.

Beliau berkata, mengapa sejak akhir-akhir ini pihak SESB mengenakan catuan elektrik yang tinggi di daerah ini, tanpa mencari jalan penyelesaiannya dan bukannya membiarkan keadaan sedemikian rupa berterusan.

“Kita bukannya berada di negeri pembangkang seperti di Selangor di mana negeri itu kini bergelut dengan masalah catuan air.Takkan pula kita disini pun bergelut dengan catuan bekalan elektrik sama seperti penderitaan di negeri pembangkang.

“Dalam lawatan saya di beberapa buah kampong, terdapat banyak aduan yang saya terima dari penduduk kampung seperti dari Kg.Cinta Mata, Kg.Mantailang, Kg.Saga, Kg.Tiningkang, Kg.Baab, Kg.Kalang Kanar dan para peniaga berhubung dengan masalah ini.

“Apabila ketiadaan bekalan elektrik, masalah gangguan bekalan air turut timbul kerana saya difahamkan pihak Jabatan Air Tenom tidak dapat mengepam air untuk di salurkan ke rumah-rumah kerana bekalan elektrik selalu terputus.

“Sekiranya catuan air mungkin dilakukan disebabkan oleh musim kemarau mungkin kita boleh terima tetapi apabila musim kemarau ini elektrik pula dikenakan catuan, penduduk tidak dapat menerimanya.

“Situasi ini mengakibatkan banyak masalah berlaku seperti perniagaan terjejas, barangan elektrik di rumah rosak, gangguan bekalan air dan aktiviti harian turut terjejas sehingga mencetuskan kemarahan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Umno Cawangan Kg.Mamaitom Tenom, di Rumah Kebudayaan Kg.Mamaitom, pada Sabtu lalu.

Raime yang juga Timbalan Ketua Bahagian Umno Tenom menegaskan bahawa pekara tersebut sepatutnya tidak berlaku lebih-lebih lagi daerah ini merupakan letaknya empangan hidroelektrik dan bukannya kawasan industri yang memerlukan permintaan bekalan elektrik yang tinggi.

Sementara itu, pada mesyuarat berkenaan, beliau turut mengingatkan kepada semua ahli parti agar bersatu dan bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai program dan dasar transformasi ekonomi dan politik dalam negara.

“Kejayaan kerajaan memacu negara kita lebih maju pada masa depan bergantung kepada kepimpinan yang baik oleh pucuk pimpinan parti dan semoga program serta dasar yang dirancang dapat memberi kesan yang positif kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sabah Sarawak Want Their Rights Back @ SSKM [Petition Background / Sign Petition]

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.