Tragedi MH370 dan solidariti bangsa Malaysia

Monday 12 May 2014

Semasa negara berhadapan dengan tragedi MH370, kita dapat melihat kesatuan dan solidariti rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama. Namun, suasana ini hanya sementara lantaran daripada provokasi-provokasi golongan yang ekstrim terhadap kaum dan agama.

Oleh Tony Paridi
Pada 8 Mac 2014 yang lalu, negara kita telah digemparkan dengan berita yang amat mendukacitakan. Kehilangan pesawat MH370 sejurus berlepas ke Beijing telah menjadi teka-teki sehingga hari ini.

Saat-saat pilu, sedih, keliru dan pelbagai lagi perasaan bukan saja dialami oleh keluarga para penumpang dan krew malah turut dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini, mahupun masyarakat antarabangsa.

Pada waktu kritikal operasi mencari dan menyelamat MH370, kita dapat menyaksikan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama, bangsa dan budaya, bersatu hati mendoakan akan keselamatan para penumpanag dan krew MH370 serta keberhasilan operasi mencari dan menyelamat.

Di saat ini, kita tidak melihat akan perbezaan agama, bangsa mahupun budaya demi keselamatan mereka yang berada di dalam pesawat MH370 serta mereka yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat.

Pokoknya, tragedi MH370 telah menyatukan rakyat Malaysia dan mengetepikan pelbagai perbezaan yang menyelubungi hati sanubari masyarakat kita.

Namun, tragedi MH370 yang masih tidak diketahui nasib dan kesudahannya semakin pudar dalam diari kehidupan rutin di kalangan rakyat Malaysia. Yalah, mungkin juga pencarian demi pencarian yang dijalankan tidak membawa kepada jawapan tuntas dan merungkai nasib para penumpang dan krew MH370.

Fokus kita sudah mula beralih arah kepada pelbagai isu-isu lain. Belum selesai dengan tragedi MH370, berlaku pula isu penculikan di Semporna yang melibatkan seorang pelancong China dan warga Filipina.

Rakyat mulai bising, khususnya rakyat Sabah yang sudah tentunya bimbang akan keselamatan negeri di bawah bayu ini.

Baru-baru ini pula, berlaku lagi penculikan yang melibatkan seorang pengurus syarikat ternakan ikan warga China. Insiden penculikan ini menambahkan lagi keresahan rakyat negeri Sabah lantas mengundang kepada persoalan akan kredibiliti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Pada masa sama, pelbagai isu lokal dan nasional semakin menjadi perhatian rakyat.

Isu seperti GST, perkataan Kalimah Allah, hudud, Obama ke Malaysia dan banyak lagi yang sentiasa terpampang di dada akhbar dan media sosial.

Keharmonian negara

Rakyat mula bersengketa dengan ideologi politik, fahaman agama, dan mulai melihat kepada perbezaan agama, bangsa dan budaya.

Perkembangan ini semakin menjadi rumit malah pemerhati politik dan cendiakawan merasakan ianya halangan besar dalam meralisasikan konsep 1Malaysia.

Isu agama yang dikatakan bom jangka sering diketengahkan oleh mereka yang berkepentingan. Dikala kita berbicara tentang perpaduan, keharmonian kaum, hormat-menghormati dan melangkah menuju ke arah sebuah negara maju pada tahun 2020, negara yang kita cintai ini masih berhadapan dengan isu-isu asas pembinaan negara bangsa.

Aktor-aktor politik yang sepatutnya sudah matang berpolitik mengambil jalan mudah dengan menggunakan pendekatan rasist demi survival politik mereka.

Suasana semakin tegang lagi ekoran daripada kemunculan NGO-NGO yang sentiasa membuat provokasi yang melampau.

Beberapa hari ini sahaja, isu perkauman dan agama seolah-olah bebas diperbincangkan tanpa memikirkan akan kesannya terhadap hubungan kaum dan perpaduan negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman umpamanya telah menimbulkan provokasi yang melampau.

Lantaran itu, DAP dan MCA telah membuat laporan polis berhubung dengan kenyataan yang dilontarkan oleh Abdullah.

Beberapa hari ini pula, media sosial serta media online dibanjiri dengan pelbagai laporan, kritikan, pandangan dan ketidakpuasan hati apabila isu agama (Kalimah Allah dan Kristianisasi) diketengahkan dalam sebuah seminar yang dianjurkan oleh salah sebuah universiti tempatan.

Seminar ini telah mendapat kritikan oleh dua badan Kristian di negara ini iaitu Christian Federation of Malaysia (CFM) dan Council of Churches of Malaysia (CCM). Kedua-dua badan ini mempersoalkan kredibiliti seminar tersebut yang bersifat one-sided dan tidak sepatutnya diadakan walaupuan atas dasar kebebasan akademik semata-mata.

Natijahnya; adakah ini membantu memperbaiki hubungan kaum di negara ini?

Pada hemat penulis, apa jua bentuk program yang bersifat perkauman dan provokasi tidak harus diamalkan jika ingin perpaduan dan keharmonian sentiasa terpelihara.

Kerajaan perlu telus dan tidak hipokrit menangani isu yang mengancam kepada keharmonian negara.

Ujudkan solidariti

Kepimpinan negara harus peka dengan perkembangan yang tidak sihat ini khususnya dalam konteks hubungan kaum.

Sebenarnya, solidariti rakyat negara ini sudah wujud namum bersifat sementara dan agak rapuh.

Semasa negara berhadapan dengan tragedi MH370 umpamanya, kita dapat melihat kesatuan dan solidariti rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.

Kita berjaya mengetepikan perbezaan dan bersatupadu berdoa mengikut kepercayaan masing-masing.

Namun, suasana ini hanya sementara sifatnya lantaran daripada provokasi-provokasi golongan politikus yang ekstrim terhadap sentimen kaum dan agama dan disokongi oleh NGO-NGO rasist dalam memperjuangkan agenda-agenda mereka yang berkepentingan.

Keadaan ini harus dihentikan dan dicegah kerana golongan inilah yang menjadi halangan utama kepada perpaduan kaum yang mapan.

Institusi-institusi awam yang sepatutnya menyemai kecintaan, hormat-menghormati dan melihat kebersamaan daripada perbezaan agar memupuk dan menjadi enjin kepada perpaduan dan bukanlah seperti pepatah ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

Nescaya, kita mampu mengetepikan persengketaan dan perbezaan justeru mewujudkan solidariti di kalangan Bangsa Malaysia.

Penulis merupakan pembaca FMT yang berasal dari Sabah.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.