Seminar mengislamkan pelajar kristian di Sarawak

Thursday 15 May 2014

“Penganut Islam tidak boleh diKristiankan dan begitu juga sebaliknya. Justeru, anda mesti menghormati apa jua kepercayaan penganut lain.

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengecam tindakan empat individu dari Semenanjung Malaysia yang didakwa cuba untuk mengIslamkan pelajar Kristian di negeri ini, sebagai tidak menghormati sistem perlembagaan negara.

Presiden PRS, Datuk Seri James Jemut Masing berkata, siasatan dan tindakan segera perlu diambil oleh pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Menurutnya, sistem perlembagaan undang-undang menjelaskan mengenai kebebasan rakyat dalam beragama.

“Penganut Islam tidak boleh diKristiankan dan begitu juga sebaliknya. Justeru, anda mesti menghormati apa jua kepercayaan penganut lain.

“Tolong hormati kepercayaan dan anutan orang lain, kerana usaha anda untuk menukar agama seseorang di Sarawak merupakan perkara yang sangat sensitif sehingga boleh mencetuskan perbalahan kaum,” tegas beliau.

Masing berkata demikian ketika menyuarakan perasaan tidak puas hati ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin dekat Serian, berikutan kehadiran empat orang ustaz dan ustazah yang menganjurkan majlis seminar di sekolah berkenaan.

NGO yang mengadakan Program Kem Anak Angkat SMK Balai Ringin @ Haluan Malaysia pada Sabtu lalu itu, disertai seramai 50 orang pelajar yang majoritinya beragama Kristian.

Seorang pelajar Kristian memberitahu, pengajar cuba mempengaruhi mereka dengan menyatakan perbezaan antara air kudus (air suci bagi penganut Kristian) dan air zam-zam serta beberapa fakta mengenai tokoh-tokoh tersohor agama Kristian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Lawan memberitahu, NGO yang bertanggungjawab juga tidak memaklumkan program mereka kepada pihak sekolah dan ibu bapa terlebih dahulu.

“Pengetua SMK Balai Ringin tidak mengetahui program ini. NGO ini disifatkan menceroboh kawasan sekolah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya sambil menambah, nama dan nombor kad pengenalan peserta juga dicatat oleh penganjur.

Juga menjadi persoalan beliau ialah mengapa pelajar beragama Kristian dijemput sebagai peserta sedangkan kandungan ceramah lebih bersifat Islam.

“Kita bimbang ada motif yang tersembunyi … saya dimaklumkan terdapat dua orang guru SMK Balai Ringin yang berasal dari Semenanjung Malaysia mengetahui pnganjuran program ini tetapi tidak memaklumkan kepada pengetua sekolah,” jelasnya. - FMT Borneo Plus

Sabah Sarawak Want Their Rights Back @ SSKM [Petition Background / Sign Petition]

1 comments:

  1. Pihak agama jangan masuk sekolah, aktiviti sekolah dah banyak, apa? pihak jabatan pelajaran sudah tidak mampu atau tidak pandai?

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.