Lebihan pekerja punca MAS rugi

Wednesday, 21 May 2014

Biarkan MAS bankrap dan mula semula dari bawah. Delta Airlnes dari US dan Japan airlines juga pernah jatuh bankrap tetapi mereka bangun semula dan sekarang merupakan antara syarikat penerbangan paling untung di dunia.

PETALING JAYA: Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin berkata macam mana MAS tak rugi kalau di sebuah jabatan saja, bilangan pekerja lebih dari kerja yang ada.

Katanya, MAS perlukan perubahan dari ‘head to toe’, semuanya mesti ditukar untuk kembalikan zaman keuntungan seperti dahulu.

“Laluan destinasi yang dianggap boleh mengaut keuntungan tidak patut dihentikan,” katanya kepada FMT.

Beliau hairan laluan MAS ke Los Angeles dihentikan baru-baru ini.

“Jika syarikat penerbangan lain yang terbang ke Los Angeles boleh buat duit, kenapa MAS tidak boleh?,” soalnya lagi.

Ismail juga mengatakan, isu seperti kenaikan harga bahan api yang dikatakan punca MAS menamatkan beberapa laluan tidak masuk akal.

“Kurangkan penerbangan ke sesebuah destinasi, bukan tutup terus laluan ke sana. Ini kerana, penerbangan lima kali sehari ke sesebuah destinasi, sememangnya akan merugikan. Lebih-lebih lagi, apabila kapasiti penumpang kurang, untuk apa terbang ke tempat sama banyak kali?,”soalnya.

Sementara itu, Ismail turut menyelar bayaran yang diterima oleh pekerja atasan tidak setimpal dengan usaha yang ditunjukkan.

“Pengurus atasan dibayar sehingga ratusan ribu, tapi lihatlah sendiri, bagaimana MAS dikendalikan. Sekiranya ia diurus dengan sempurna, tidaklah pekerja baru bersilih ganti keluar masuk,” katanya.

Dianggarkan seramai 50-100 pekerja MAS menghantar surat perletakan jawatan setiap bulan dengan alasan mendapat tawaran lebih baik dari syarikat penerbangan lain.

Sementara itu, selain faktor kebajikan pekerja tidak dijaga, kapasiti pekerja yang berlebihan, persaingan sengit antara syarikat penerbangan tempatan juga mempengaruhi keuntungan MAS.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.