Empangan Koiduan akan tetap dibantah

Tuesday 27 May 2014

Dengan slogan ‘bantah tetap bantah’ dan ‘bantah sampai menang' adalah antara protes paling banyak membabitkan seluruh masyarakat..

PENAMPANG: Aktivis alam sekitar dan mereka yang membantah rancangan membina empangan di Koiduan khuatir usaha mereka menentang pembinaan itu akan sia-sia juga nanti kerana keputusan bukan berada di tangan mereka.

Ketua Jawatankuasa Bertindak yang membantah pelan pembinaan empangan Koiduan, Nousi Giun berkata, belum ada pengesahan bila pembinaan itu diadakan tetapi rancangan itu memang sudah ada.

“Namun begitu, kami memang sedang berusaha bersungguh-sungguh melakukan segala bantahan melalui pelbagai saluran yang betul, termasuk memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Dengan slogan ‘bantah tetap bantah’ dan ‘bantah sampai menang’ bantahan terhadap pembinaan empangan Koiduan adalah antara protes paling banyak membabitkan seluruh masyarakat dalam dan luar negara.

Kata Nousi, masalah terbaru yang mereka hadapi sekarang ialah kesukaran untuk mendapatkan maklumat mengenai kadar penggunaan air di seluruh negara untuk membuat perbandingan.

“Kami sudah ada sedikit maklumat daripada Johor. Maklumat itu penting untuk dijadikan perbandingan. Tetapi bukan senang untuk mendapatkan maklumat ini kerana di sini, pihak berkuasa enggan bekerjasama dengan kami.

“Tetapi apa yang kami tahu, dari segi perbandingan kita tahu berapa liter air sehari yang diperlukan untuk satu negeri yang penduduknya lebih ramai dari Sabah.

“Contohnya ialah Johor. Mereka hanya memerlukan 1.2 juta liter sehari untuk keperluan penduduk yang saya rasa lebih ramai daripada Sabah,” katanya menambah lebihan air Johor itu jual kepada Singapura.

Nousi bagaimanapun tidak memberi jumlah sebenar penduduk di Johor dan jumlah air yang dijual kepada Singapura kerana maklumat yang ada belum lengkap.

Namun katanya, bagi Kerajaan Negeri Sabah untuk membekalkan air untuk Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya saja ia memerlukan 12 juta liter sehari. Ia satu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan Johor.

“Kamu rasa bukan ada masalahkah itu? Sebanyak 1.2 juta liter untuk penduduk Johor yang lebih ramai daripada penduduk Sabah yang memerlukan bekalan 12 juta liter sehari.

“Ada beberapa maklumat daripada kawan saya yang mengatakan bahawa Singapura hanya memerlukan 2.5 juta liter air sehari yang diperlukan oleh beberapa juta penduduknya,” katanya.

Menurut Nousi, banyak lagi maklumat mengenai penggunaan air diperlukan di Sabah yang mereka minta tetapi Jabatan Air enggan memberi data yang mereka minta.

Mereka katanya, mahu kaji semua maklumat yang ada untuk mengelak kesilapan apabila membentangkan kes nanti, sebab ia diperolehi daripada ‘kawan-kawan’. Selain itu, mereka juga sedang berusaha mencari data di internet.

Namun, kebanyakan maklumat dalam talian itu sudah lapuk dan sukar untuk dipercayai kredibilitinya.

Kata Nousi jawatankuasa bertindak masih memerlukan data mengenai kuantiti air yang kerajaan bekal pada masa sekarang dan mahu tahu berapa jumlah air dari Empangan Babagon dan jabatan air.

“Kalau bekalan sedia ada melebihi dua juta liter, buat apa mahu bina empangan? Berapa banyak yang kita perlu di Sabah? Apa yang kita tahu Empangan Koiduan hanya untuk membekal air di Kota Kinabalu saja.

“Mustahil mereka mahu bina empangan Koiduan untuk dibekal di Sandakan atau Tawau,” katanya menambah mereka juga sedang mengkaji penggunaan air di negeri lain di negara ini.

Sedikit menyindir, Nousi berkata, mungkin Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ada saham dalam pembinaan empangan Koiduan.

Beliau merujuk kepada Pairin yang juga adalah Huguan Siou (Pemimpin Agung) kaum Kadazandusun dan Murut yang berkeras mahu empangan itu dibina. - FMT Borneo Plus

Sabah Sarawak Want Their Rights Back @ SSKM [Petition Background / Sign Petition]

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.