Cubaan mengislamkan penganut kristian melalui penipuan bangkitkan kemarahan

Sunday 18 May 2014

Penduduk mendakwa mereka hanya sedar telah memeluk Islam apabila membawa dokumen pulang dan menunjukkannya kepada pemimpin gereja..

PITAS, Sabah: Sekumpulan penganut Kristian daripada suku kaum asli Rungus telah berkumpul di semenanjung Kudat, berhampiran “Penghujung Borneo” bagi mamangkis, untuk memohon intervensi Tuhan bagi ketidakadilan yang membelenggu penduduk diperbetulkan.

Mamangkis merupakan laungan perang orang asal yang digunakan sejak berkurun lamanya ketika berhadapan dengan musuh. Kini ia digunakan sebagai laungan penganut Kristian bagi kebangkitan semula.

Ini merupakan siri keempat perhimpunan seperti ini dianjurkan Perpaduan Anak Negeri (PAN) Sabah sejak ditubuhkan pada perayaan Krismas tahun lepas di Penampang.

Penganjur memberitahu theantdaily bahawa Paderi Jensey Mojuin, yang juga presiden Gereja Protestan Sabah (PCS), telah menyempurnakan majlis pada 12 April lepas.

Penganut Kristian di Sabah telah menyuarakan kegusaran tentang cubaan mendakwah beberapa saudara mereka bagi memeluk Islam. Usaha ini dikatakan semakin berleluasa akhir-akhir ini.

Salah satu usaha melibatkan 64 orang (DISINI), termasuk kanak-kanak, daripada tiga perkampungan di pedalaman daerah Pitas – Kampung Layung Maliau, Dowokon and Sosop – yang mana mereka diperdaya sehingga memeluk Islam.

Seorang jiran didakwa memberitahu mereka “orang-orang dari Kuala Lumpur” menawarkan bantuan wang sebanyak RM800 tetapi mereka perlu ke Pitas terlebih dahulu.

Ini terjadi pada perayaan Tahun Baru. Mereka bagaimanapun dibawa ke sebuah masjid setibanya di Pitas.

Di sana, mereka dihulur RM100 dan diminta meletakkan cap jari pada satu dokumen. Mereka kemudian diminta berdiri dalam mengucapkan kalimah “asing”.

Menurut laporan, penduduk mendakwa mereka hanya sedar telah memeluk Islam apabila membawa dokumen pulang dan menunjukkannya kepada pemimpin gereja.

Berucap di perhimpunan Pitas, Jensey berkata “Hari ini, kita mamangkis, kita meminta Tuhan campurtangan di dalam ketidakadilan yang dilakukan keatas saudara kita Anak Negeri Sabah.”

Beliau berkata pihak pelampau agama menggunakan kaedah menipu ke atas “saudara kita di Pitas yang tidak berdosa serta buta huruf”. Ketua PCA ini telah membuat laporan polis, tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Tindakan tidak adil dan menipu ini menggugat keamanan dan keharmonian beragama yang dinikmati di Sabah,”ujarnya.

“Di dalam Islam, seseorang yang ingin memeluk Islam mesti melakukannya dengan kerelaan hati. Tindakan menjadikan mereka sebagai penganut Islam tanpa sebarang pengetahuan melanggar undang-undang.”

Beliau mendesak pihak berkuasa menghentikan kegiatan ini serta-merta.

Menurut Jensey, pihak yang terlibat mengambil kesempatan ke atas penduduk buta huruf dengan menipu mereka kononnya membawa bantuan daripada kerajaan.

“Ada yang menerima bantuan kebajikan ini dan diminta menandatangani dokumen. Ini penipuan. Dokumen ini digunakan sebagai bukti mereka bersetuju memeluk Islam,” katanya pada perhimpunan yang disertai mereka yang ditipu.

Penduduk Pitas merupakan antara yang termiskin di negara ini. Mereka ini dibiarkan tanpa bantuan serta sokongan kerajaan.

Perhimpunan mamangkis kedua diadakan di Ranau, diikuti satu lagi di Nabawan, di pedalaman Sabah pada 22 Februari. Ia disertai Biskop Katolik Datuk Cornelius Piong dari Keningau yang kurang gembira dengan peranan wakil rakyat di negeri ini.

Merujuk kepada perjanjian Malaysia, Piong berkata perkara pertama di dalam perjanjian ialah kebebasan beragama di Sabah.

Gereja Protestan di Sabah merupakan ahli Persatuan Lutheran Sedunia yang bermula dengan kerja missionary dari Jerman di Kudat pada kurun ke-20. Ahlinya terdiri daripada penduduk asal Sabah.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.