Pesta Menuai bukan alasan minum arak berlebihan

Wednesday 14 May 2014

Pihak yang bertangungjawab mengeluar dan mengedar alkohol di negara ini patut juga menubuhkan pusat pemulihan bagi merawat alkoholisme dan pemabuk.

KOTA KINABALU: Setiap bulan Mei, polis di Sabah akan lebih kerap mengeluarkan amaran kepada pengguna jalan raya supaya tidak minum dan memandu untuk mengelak berlaku kemalangan di jalan raya.

Mei adalah bulan paling menyeronokkan di Sabah dan penduduknya, terutama kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDM) adalah masyarakat paling ceria kerana bulan ini adalah musim perayaan Pesta Menuai.

Dan ketika Pesta Menuai, masyarakat KDM dan kaum lain seolah-olah diberi ‘kelonggaran’ untuk minum alkohol dengan lebih banyak daripada hari-hari biasa. Mereka ‘aramai ti’ (meriah) setiap hari selama sebulan pada Mei.

Polis terpaksa mengingatkan mereka untuk tidak minum dan memandu. Jika minum, jangan memandu dan jika memandu, jangan minum sehingga mabuk kerana kalau mabuk, sukar nanti mengawal pergerakan kenderaan.

“Faktor seperti mudah mendapatkan arak, alasan bahawa mengambilnya boleh diterima kerana adat resam, kurang kesedaran bahaya pengambilan berlebihan adalah antara sebab sukar membendung penyalahgunaan alkohol,” kata Dr Wilfred J Samuel dari Seminari Teologi Sabah.

Beberapa bulan sebelum Mei, ramai kaum KDM akan mula membuat arak buatan sendiri iaitu ‘hiing’, ‘tapai’, ‘talak’ dan montoku yang kebanyakannya ditapai menggunakan beras, ubi kayu dan kelapa.

Ia adalah persediaan untuk diguna ketika merayakan Pesta Kaamatan yang diadakan sepanjang Mei di pelbagai peringkat iaitu kampung, daerah dan negeri. Kadang-kadang seluruh keluarga juga merayakannya sambutan ini secara besar-besaran di mana menghidang alkohol adalah satu kemestian.

Mudah dibeli

Walaupun arak boleh menyemarakkan suasana majlis, menyalahgunakannya juga boleh menjejaskan kesihatan dan memberi kesan emosi kepada individu serta membuatkan poket si peminum kering kerana membelinya setiap hari.

Akhirnya kata Dr Wilfred, masalah penyalahgunaan ini balik kepada kerajaan untuk merawat individu yang terjejas akibat penyalahgunaan arak.

Katanya, pihak yang bertangungjawab mengeluar dan mengedar alkohol di negara ini patut juga menubuhkan pusat pemulihan bagi merawat alkoholisme dan pemabuk.

“Sebenarnya tanpa kita sedari, penyalahgunaan arak di Sabah terus menjadi masalah yang mengancam dalam kategori menyalahgunakan substans.

“Di negara-negara barat, mereka ada pusat pemulihan untuk merawat pemabuk tetapi di sini, pemabuk dihantar di institusi psikiatrik. Siapa mahu pergi ke pusat psikiatrik?

“Mesti ada dasar yang membolehkan mereka yang mengaut keuntungan untuk memabukkan orang memikul tanggungjawab,” katanya di depan lebih 60 peserta bengkel mengenai penyalahgunaan alkohol anjuran Mercy Malaysia di sini, baru-baru ini.

Berhenti minum arak

Matlamat bengkel itu adalah untuk memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin akar umbi untuk mengadakan program yang sama di kawasan masing-masing bagi menyedarkan penduduk kampung untuk berhenti minum arak atau mengurangkan pengambilan.

Setiap Mei juga, pemimpin dalam ucapan mereka ketika merasmikan Pesta Menuai, selalu mengingatkan orang ramai supaya tidak minum sehingga mabuk teruk dan bahawa perayaan itu bukan masa untuk berpesta dengan minuman keras.

Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, orang ramai terutama kaum KDM jangan terlalu berseronok dengan minuman keras hingga lupa tanggungjawab terhadap keluarga dan menjejaskan prestasi kerja.

“Budaya minum minuman keras dalam kalangan masyarakat kita semakin menjadi-jadi dan jika perkara ini tidak diberi perhatian yang serius, saya bimbang akan menjadi lebih teruk lagi,” tegas Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) itu.

Beliau tekankan bahawa, penerapan unsur positif dalam Kaamatan ialah berusaha meningkatkan hasil padi tetapi ia gagal difahami, sebaliknya keseronokan minum minuman keras lebih dijiwai.

Timbalan Ketua Menteri ini berkata, kini tabiat minum minuman keras menjadi semakin buruk dan tidak terkawal khususnya dalam kalangan etnik Kadazan, Dusun dan Murut.

“Ini patut diubah dan jangan terlalu aramai ti,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.