Kes cubaan bunuh ditutup untuk lindungi pihak tertentu?

Sunday 18 May 2014

"Kes tembak ini ada kaitannya dengan pendedahan jenayah dadah yang saya bongkarkan, yang mana terdapat penglibatan pegawai kanan polis dalam sindiket dadah tersebut..

PETALING JAYA: Pengerusi MyWatch, R. Sri Sanjeevan (gambar) mendakwa beliau gagal mendapat keadilan bilamana kes ini akhirnya diklasifikasikan sebagai tidak ada tindakan lanjut (NFA).

Katanya, sepatutnya, kes tembak beliau ini lebih mudah diselesaikan kerana beliau masih hidup untuk memberi maklumat kepada polis hingga tertangkapnya suspek berbanding kes Sosilawati dan Hussain Ahmad Najadi.

“Lebih mendukacitakan lagi, ramai sahabat saya dan penyampai maklumat MyWatch yang ditahan kerana penyiasatan kes tembak saya lebih berkisar kepada penyiasatan mengenai apa yang dilakukan MyWatch dan rancangan masa depan MyWatch, bukannya penyiasatan untuk mencari suspek penembak,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Pada tarikh 2 Mei lalu, beliau telah menerima satu surat daripada IPD Jempol yang menyatakan bahawa siasatan kes tembak beliau pada 27 Julai 2013 yang lalu telah selesai dijalankan dan kes ini telah diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA).

Dinyatakan alasan pihak polis menutup kes ini adalah kerana tiada pengecaman terhadap suspek yang menembak beliau tempoh hari.

“Saya sehingga hari ini optimis mengatakan bahawa kes tembak ini ada kaitannya dengan pendedahan jenayah dadah yang saya bongkarkan sebelum saya ditembak. Yang mana terdapat penglibatan pegawai kanan polis dalam sindiket dadah tersebut,” dakwanya.

Katanya lagi, suspek bermotorsikal yang menembak beliau dari jarak dekat memang bertujuan untuk “shoot to kill” dan bukannya semata-mata mahu memberi amaran.

“Namun saya bernasib baik kerana sempat menekan pedal minyak dan memecut kereta bagi menjauhkan diri dari penembak. Berbeza dengan kes Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak di Putrajaya, yang mana beliau ditembak dalam keadaan kereta berhenti. Ini memudahkan penembak mencari sasaran tepat iaitu kepala,” dakwanya lagi.

R Sri Sanjeevan berkata Uutuk menyelesaikan kes tembak beliau, kunci utamanya adalah penyiasatan terhadap pendedahan jenayah dadah yang beliau bongkarkan sebelum ditembak.

“Malangnya, pendedahan ini dibakulsampahkan oleh pihak polis. Sehingga ke hari ini polis masih gagal memberi penjelasan mengenai siasatan kes dadah tersebut,” dakwamya lagi.

Beliau memberi contoh kes pembunuhan jutawan kosmetik Sosilawati, yang mana siasatan dijalankan terhadap urusan perniagaan dan jual beli tanah yang dilakukan sebelum beliau hilang hingga akhirnya siasatan ini membawa kepada penemuan suspek.

“Begitu juga dengan kes tembak Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi. Siasatan dijalankan terhadap perjumpaan Hussain dengan beberapa lelaki berkaitan urusan pembelian saham dan akhirnya mereka ini menjadi suspek utama pembunuhannya,” dakwanya lagi.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.