Kebimbangan keselamatan di klia2 yang bernilai RM4 bilion

Tuesday 20 May 2014

AirAsia pada mulanya enggan berpindah operasinya pada 9 Mei, mengatakan kebimbangannya tentang keselamatan operasi penerbangan, tetapi Putrajaya tetap mengarahkan penerbangan itu untuk berpindah..

Kebimbangan keselamatan muncul lagi di klia2 berikutan jalan rayap landasan dan tempat letak pesawat tenggelam secara perlahan-lahan kerana hujan lebat dan kesan daripada beratus-ratus pendaratan dan perlepasan pesawat di terminal lapangan terbang bajet baru itu.

Sumber daripada industri penerbangan memberitahu The Malaysian Insider terdapat “kolam” atau tempat pengumpulan air di apron lapangan terbang pada Ahad selepas hujan lebat di lapangan terbang di Sepang bernilai RM4 bilion itu, dua minggu selepas operasi bermula.

Mereka juga berkata terdapat laporan pesawat penumpang AirAsia Airbus 320 bergerak di tempat letak pesawat tidak rata walaupun sudah mengundi tayar daripada bergerak.

AirAsia merupakan pelanggan terbesar lapangan terbang itu.

"Apa yang berlaku adalah apabila brek dilepaskan pada roda utama, pesawat bergerak ke belakang kerana cerun. Dalam kes ini, momentum hanya cukup untuk menyebabkan ia memanjat dan berhenti di penyendal. Penyendal pesawat yang kita digunakan adalah seperti yang diperlukan Airbus.

"Ini berlaku setiap hari dan kami meminta orang-orang kami supaya jangan berada di belakang pesawat apabila melepaskan brek. Ia menjadi sangat berbahaya," kata satu sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan AirAsia kini sedang bekerjasama dengan pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menyelesaikan perkara itu walaupun lapangan terbang tersebut sudah pun lulus pemeriksaan oleh Penerbangan Awam Antarabangsa Antarabangsa (ICAO) beberapa minggu sebelum ia dibuka.

Terminal lapangan terbang baru itu terletak dua kilometer arah barat dari terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kawasan 10,000 hektar di mana KLIA terletak terdahulu merupakan ladang kelapa sawit dan getah serta hutan paya bakau, di mana klia2 sekarang berada.

Difahamkan pekerja MAHB sedang sibuk menurap semula landasan di terminal klia2 selepas pegawai AirAsia mengadu keadaan landasan yang lembut dan menggunakan desiphalt - bahan campuran penurapan asfalt (bitumen) dan konkrit, daripada menggunakan asfalt sahaja yang biasa digunakan untuk permukaan tersebut

Seorang juruterbang memfailkan laporan kepada penerbangannya, dengan laporan yang mengatakan beliau mengalami 'lima lekukan' pada jalan rayap U4 di lapangan terbang itu.

"Ini dapat kami rasakan sebagai impak yang besar pada pesawat apabila hendak berlepas pada kelajuan 15 knot.

"Tiga daripadanya terletak di zon sayap P sebelum SkyBridge apabila sedang berlepas ke arah landasan 33. Setakat yang saya ingat ia selari dengan laluan P3 dan P5. Dua lagi lekukan berada di kawasan laluan Q7. Akan lapor segera jika dapat berlepas daripada U4 lagi," kata juruterbang itu dalam laporan yang dilihat The Malaysian Insider.

Juruterbang itu juga memberitahu penerbangannya beliau mengelak daripada jalan rayap U4 sejak 11 Mei dengan "memohon untuk laluan berlepas yang lain daripada pengawal trafik jika dibenarkan, untuk keselesaan penumpang."

AirAsia, penerbangan bajet terbesar Asia merupakan penyumbang 80% daripada penumpang yang menggunakan terminal itu melalui penerbangan domestik, serantau dan antarabangsa, iaitu 400 pergerakan pesawat dalam sehari.

Penerbangan lain yang beroperasi di klia2 termasuk Malindo Air, Cebu Pacific Air, Tiger Airways Singapore, Lion Air dan Mandala Airlines milik Indonesia.

Terminal lapangan terbang itu yang berupaya memuatkan 45 juta penumpang setiap tahun, dibina untuk menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) berdekatan dengan pusat kargo KLIA.

Namun projek yang memulakan pembinaan pada 2009 itu ditangguhkan beberapa kali disebabkan pertukaran rekabentuk dan kerja-kerja tanah.

Bajet juga melambung daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion yang menurut MAHB adalah kerana beberapa permintaan daripada AirAsia dan agensi-agensi lain.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sudah pun mengemukakan pertanyaan tentang penangguhan projek dan kos, termasuklah geran RM100 juta daripada kerajaan untuk sambungan Express Rail Link (ERL) kepada terminal.

AirAsia pada mulanya enggan berpindah operasinya pada 9 Mei, mengatakan kebimbangannya tentang keselamatan operasi penerbangan, tetapi Putrajaya mengarahkan penerbangan itu untuk berpindah kerana mereka akan menghentikan pemeriksaan imigresen dan kastam di LCCT selepas tarikh tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.