Bernas tindas petani Sabah untuk kaut keuntungan

Friday, 16 May 2014

Sabah dipaksa membekalkan beras pada harga yang murah kepada penyamun Bernas, manakala Sabah sendiri kekurangan bekalan beras sehingga terpaksa mengimport beras dari China, India, Vietnam dan Thailand..

KOTA KINABALU: Pendapatan ribuan penanam dan penjual padi di Sabah akan terjejas jika Syarikat Beras Nasional Berhad (Bernas) mengenakan potongan harga sehingga 28 peratus bagi setiap satu tan metrik padi yang mereka beli.

Jika ini benar kata Ketua Unit Pertubuhan Peladang Bolong Tuaran, Ghulabdin Enjih, ia tidak wajar kerana ia akan membebankan ramai petani di sini.

“Tidak wajar tindakan Bernas itu untuk mengautkan keuntungan yang banyak hasil keringat petani yang pendapatan mereka tidaklah seberapa,” katanya menambah kebanyakan petani bergantung kepada hasil jualan padi untuk menyara keluarga.

Katanya, pertubuhan peladang menyokong sepenuhnya langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menggesa Bernas agar tidak mengenakan potongan harga yang terlalu tinggi.

Jumlah potongan harga sehingga 28 peratut itu adalah tidak munasabah, katanya.

Bagi menggalakkan pendapatan lebih di kalangan petani, kerajaan menaikkan harga siling bagi setiap satu tan metrik padi sebanyak RM1,200 yang mana sebelum ini berharga RM980.

Namun, kenaikan ini tidak akan memberi sebarang makna jika kadar potongan dinaikkan dari 18 hingga 20 peratus sebelum ini kepada 28 peratus sekarang.

Ramai petani kata Ghulabdin, akan merungut kerana rasa terbeban dan ini diburukkan lagi dengan peningkatan harga hampir semua barang-barang di kedai.

Sehubungan itu katanya, bagi menyelesaikan masalah ini, Bernas perlu mengadakan perbincangan dengan penjual padi di Sabah sebelum memotong harga itu sesuka hati.

Ketika ini, kecukupan pengeluaran beras Sabah hanyalah sekitar 30 peratus yang disumbangkan oleh 35,600 hektar tanah sawah padi yang sedia ada.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Yahya Hussin berkata, keadaan ini menyebabkan Sabah kekurangan beras keluaran sendiri dan terpaksa mengimport beras dari China, India, Vietnam dan Thailand.

Penggunaan beras dalam negeri juga meningkat kerana pertambahan penduduk di mana pada tahun 2000, sebanyak 290,792 metrik tan digunakan dan meningkat kepada 302,695 metrik tan pada masa sekarang.

Kementerian menetapkan dasar kecukupan 60 peratus bekalan beras dalam negeri daripada pengeluaran tempatan. Malangnya, ia tidak cukup kerana tahap kecukupan masih di bawah paras 30 peratus.

Kerajaan negeri menaruh harapan kepada Kota Belud untuk mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus tahap kecukupan dalam masa tujuh tahun.

Kota Belud diumumkan sebagai satu lagi kawasan jelapang padi Sabah yang mempunyai 12,200 hektar sawah padi dengan pengeluaran sebanyak 40,300 metrik tan padi atau 25,400 metrik tan beras.

Menjelang tahun 2020, seluas 5,000 hektar di daerah ini akan dapat ditanam dua kali setahun dengan jangkaan hasil meningkat dari lima tan sehektar kepada 8.5 tan sehektar. Angka ini mampu mengeluarkan sebanyak 91,600 metrik tan padi atau 57,000 metrik tan beras.

Pengeluaran beras di seluruh negeri dijangka turut bertambah daripada 85,000 metrik tan kini kepada 117,300 metrik tan pada 2020. Usaha ini diharap mampu menambah kecukupan pengeluaran beras sebanyak 40 peratus pada tahun itu. - FMT Borneo Plus

Sabah Sarawak Want Their Rights Back @ SSKM [Petition Background / Sign Petition]

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.