Dua peragut warga asing dibelasah orang awam

Thursday 15 May 2014

Motosikal yang ditunggangi peragut dihalang oleh sebuah kenderaan jenis Honda dipandu seorang lelaki tempatan.

KOTA KINABALU: Dua peragut terpaksa berputih mata akibat ditahan dan dibelasah orang awam ketika bertindak melarikan diri di tepi jalan berhampiran Land River Side Kingfisher, Jalan Kingfisher, di sini kelmarin.

Dalam insiden kira-kira jam 4 petang itu, kedua-dua suspek lelaki warga asing masing-masing berusia 21 dan 22 tahun itu dikatakan baru sahaja meragut beg tangan seorang wanita dipercayai penuntut sebuah kolej swasta di kawasan berkenaan.

Mangsa,19, kemudiannya menjerit meminta pertolongan orang awam yang berada di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun sebaik melarikan diri selepas meragut, motosikal yang ditunggangi mereka tidak semena-mena dihalang oleh sebuah kenderaan jenis Honda dipandu seorang lelaki tempatan selepas menyedari kejadian ragut itu.

Kedua-dua suspek akhirnya gagal meloloskan diri dan ditahan oleh orang awam yang turut berada di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau turut memuji keprihatinan orang awam yang membantu menahan kedua-dua suspek dalam mencegah aktiviti jenayah di kawasan berkenaan.

“Ini adalah kerjasama yang sangat diharapkan antara masyarakat dengan polis hingga membolehkan penjenayah ditangkap serta-merta sebelum dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Jauteh berkata, suspek kemudian dibawa oleh orang ramai ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.