UiTM adalah landasan untuk menghuru-harakan keamanan

Tuesday 13 May 2014

UiTM bukan lagi landasan untuk menyatupadukan dan mendidik anak bangsa, sebaliknya ia kini menjadi tempat untuk melaungkan Ketuanan Melayu, Keagungan Islam dan mendidik pelajar untuk membenci segala-gala yang tidak islamik..

KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan orang Islam yang memberi amaran kepada muslim mengenai ancaman agama Kritian dan mempersendakan kitab Bible dengan menuduh ia mengandungi cerita ‘dongeng’ akan menjejaskan usaha berdialog antara Islam dan Kristian di negara ini.

Usaha bertahun-tahun untuk berdialog mencari persamaan supaya dua umat itu dapat memupuk persefahaman dan hidup saling menghormati, musnah dalam sekelip mata pada minggu pertama Mei.

Ketua Pemuda Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Arthur Sen berkata, tindakan kumpulan Islam itu mengadakan seminar dengan ‘membelasah’ dan menabur kebencian kepada agama Kristian tidak patut diadakan.

Bagaimanapun, nasi sudah menjadi bubur. Terlajak perahu boleh ditarik, terlanjur kata tanggunglah sendiri.

Dalam masa beberapa minit selepas berita forum itu dikeluarkan dalam portal media sosial, ribuan komen dapat dilihat dengan jelas mengutuk pengisian forum yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ramai tidak percaya dengan apa yang mereka dengar apabila seorang penceramah tanpa rasa segan mengatakan umat Kristian mengkhianati Yesus.

Ramai umat Kristian meluahkan rasa tersinggung dan terhina. Jika agama ini ada undang-undang anti kufur seperti Islam dengan anti-blasphemy, sudah pasti pertumpahan darah berlaku.

“Namun, umat Kristian diajar untuk tidak bertindak melulu dan dididik mengendalikan kemarahan dengan berdoa mengampuni pihak yang menindas dan mengkhianati mereka. Mereka meneladani ajaran Yesus yang meminta pipi satu lagi ditampar jika yang sebelah disakiti,” kata netizen Ordinary Jay.

‘Perang’ mulut di media sosial terus berlaku dan ramai juga orang muslim tidak setuju dengan ceramah di seminar itu.

Ramai pemimpin Islam dan bukan Islam mengutuk penganjur dan walaupun ramai berharap sesuatu dapat dilakukan ke atas pihak yang bertanggungjawab mengeruhkan keadaan, ramai akur kerajaan pasti hanya berdiam diri.

“Kita tidak perlu bertindak seperti mereka,” kata Maria Oyumi. “Sebab kita tidak seperti mereka. Kita diajar untuk memaaf dan yakin kepada Tuhan. Jika kita percaya, buat apa kita bertindak balas mengeruhkan lagi keadaan?”

Kata Arthur, tindakan mengadakan forum di entiti pusat pengajian tinggi yang diguna oleh semua kaum di negara ini, akan menenggelamkan matlamat berdialog antara dua agama penting ini.

Pada masa yang sama, beliau berharap kerajaan akan mengharamkan buku terbitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang antara kandungannya menuduh ancaman Kristianisasi kerana menginjil di kalangan Melayu muslim yang banyak berlaku di Malaysia.

Kira-kira 1,000 naskah buku bertajuk ‘Pendedahan Agenda Kristian’ itu diedar kepada pada hadirin di forum itu. Antara lain ia memberi amaran kepada muslim kononnya pelbagai ‘helah’ dilakukan orang Kristian untuk memperdayakan orang Islam supaya meninggalkan agama mereka.

Buku itu juga mendakwa, sebab utama berlaku murtad di kalangan orang Islam ialah tindakan mengkristiankan yang kononnya giat diadakan umat Kristian.

Kelmarin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun turut mengecam UITM dengan berkata, pusat itu sepatutnya menjadi landasan untuk menyatupadukan orang pelbagai kepercayaan dan kaum.

“Sebaliknya, ia kini menjadi tempat untuk menghuru-harakan keamanan yang sudah lama terjalin,” katanya menambah ramai penuntut di institusi itu adalah penduduk asal dari Sabah dan Sarawak yang bukan beragama Islam.

Perkembangan terbaru ini secara automatik membunuh slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Bersama usaha berdialog dan slogan 1Malaysia, ia hancur pada hari Perkasa, Isma dan personaliti Islam yang radikal melaungkan ketuanan Melayu, keagungan Islam dan kebencian mereka terhadap segala-gala yang tidak Islamik,” kata Joe Nan dari Penampang.

Katanya, penduduk di Sabah tidak perlukan cara hidup, fikiran sempit dan keagungan satu kaum saja seperti yang dilaung-laungkan golongan ekstremis ini.

Cara hidup sederhana dan aman di Borneo yang dikongsi penduduk Sabah dan Sarawak tidak memerlukan perubahan fikiran yang boleh mencetuskan huru-hara dan ketegangan, katanya.

Kata Joe, tidak ada sebarang rasa ‘siapa lebih bagus’ di kalangan pelbagai kaum di Sabah yang ada lebih 30 etnik kerana mereka melayan sesama sendiri dengan sama rata, malah selalu merendah diri dan saling membantu jika ada yang memerlukan bantuan.

“Semuanya berubah apabila Perkasa mula membuka mulut dan Presidennya Ibrahim Ali mengapi-apikan rasa perkauman dengan merendah-rendahkan agama dan kaum yang lain,” katanya meminta kerajaan melakukan sesuatu untuk menghentikan percakaran agama dan kaum ini sebelum terlambat. - FMT Borneo Plus

Sabah Sarawak Want Their Rights Back @ SSKM [Petition Background / Sign Petition]

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.