Kelemahan hujah ketuanan Melayu

Wednesday, 21 May 2014

Terdapat dua golongan orang-orang Melayu. Kebanyakan Melayu biasa hidup susah, tetapi golongan yang rapat dengan elit Umno-Baru sememangnya senang-lenang.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat bijak menaikkan ego orang-orang Melayu. Beliau kerap menggambarkan orang Melayu sebagai tuan, selaku kaum bumiputera yang wajar mengaut keuntungan yang terhasil di negara sendiri. Ini sebenarnya dongengan yang terlalu berbeza dengan hakikat kehidupan orang-orang Melayu yang sangat menyedihkan.

Baru-baru ini Mahathir berkata “Kaum Cina kaya, manakala kaum India menjadi doktor dan pengamal undang-undang”; tetapi sekiranya kita cuba menjelaskan nasib orang-orang Melayu, maklumbalasnya ialah “Melayu yang mana?”

Terdapat dua golongan orang-orang Melayu. Kebanyakan Melayu biasa hidup susah, tetapi golongan yang rapat dengan elit Umno-Baru sememangnya senang-lenang. Dia tidak akan berdepan hukuman sekiranya berbuat salah, termasuk apabila menyalahguna kuasa serta kekayaan negara hasil kutipan wang semua pembayar cukai.

Apabila roda keadilan serta penguatkuasaan undang-undang tidak dilakukan dengan sempurna, orang-orang Melayu kecewa dan ini menyebabkan mereka menyokong hukum hudud. Mereka dikecewakan sistem yang sewajarnya menghukum golongan bersalah. Mereka berpendapat hudud satu bentuk hukuman yang diwajibkan agama, maka tiada siapa yang berani melakukan kesalahan kerananya. Mereka sebenarnya silap!

Kenyataan Mahathir dibuat sebagai tindakbalas terhadap komen Presiden Barack Obama bahawa sesuatu negara tidak akan maju sekiranya golongan minoriti asyik diketepikan.

Respon Mahathir, “Di Malaysia, walaupun dengan dasar-dasar yang ada, anda tidak nampak kaum Cina jatuh miskin. Kaum India pula mampu menjadi golongan profesional, menjadi penguam dan doktor.”

Mahathir berkata golongan bukan Melayu diberi banyak peluang melakar kejayaan serta kekayaan. Dalam pada itu, beliau mempertahankan dasar-dasar pro- Bumiputera, yang diperjuangkan Umno-Baru dan gabungan BN, yang beliau sendiri laksanakan.

Mahathir tidak mengaku membina satu kelas manusia yang kaya-raya. Di bawah pentadbirannya, yang kaya bertambah kaya, manakala golongan miskin semakin terbeban.

Kelompok yang hampir dengannya membina empayar hasil kekayaan negara serta dari jerit-perih golongan marhaen. Mahathir menyumbang kepada ketidaksamarataan di dalam masyarakat Malaysia.

Beliau memberi layanan istimewa bagi kaum Melayu dari segi kemudahan perumahan, jawatan di dalam kerajaan, angkatan tentera serta penawaran tender. Malangnya, beliau gagal mengekang golongan ultra-kaya daripada merebut segala peluang yang ditawarkan.

Golongan yang sewajarnya dibantu, terdiri daripada kaum Melayu yang susah, mendapati diri mereka bersaing dengan golongan kaya Melayu bagi merebut peluang yang sama. Terdapat kekurangan pada sistem Mahathir, tetapi beliau enggan mengakuinya.

Anak Melayu kaya mampu ke sekolah yang terbaik serta menjamah makanan yang sihat. Mereka sudah tentu lebih berjaya berbanding anak Melayu miskin. Dengan kelayakan mereka, mudah sahaja bagi biasiswa serta tempat di universiti ditawarkan.

Bagi kebanyakan keluarga yang mengimpikan rumah selesa, mereka mendapati golongan kaya terlebih dahulu membelinya sedangkan golongan ini mampu membeli unit rumah berharga jutaan ringgit.

Kaum Melayu bergelumang dengan masalah kewangan dan mereka berdepan krisis imej. Mereka melibat golongan elit hidup bermewah-mewah dan mengimpikan kehidupan yang sama.

Perlu diingatkan kepada kebanyakan orang-orang Melayu, bahawa kehidupan golongan mewah ini dibiayai wang hasil korupsi. Namun, reaksi mereka apabila diberitahu perkara ini ialah, ““Tak pe. Itu orang kita juga.”

Pendidikan sedikit sebanyak membantu golongan Melayu sederhana tetapi mereka dikekang daripada melakar lebih banyak kemajuan. Contohnya, apabila mereka cuba menggunakan Bahasa Inggeris, mereka dianggap tidak patriotik. Kaum Melayu percaya pada hujah yang lemah ini dan apabila tiba masa mencari pekerjaan, mereka berdepan kesukaran. Mereka sebenarnya menjadi mangsa sindrom “Ketam Melayu”.

Apabila semua keadaan menyebabkannya sukar mengecap kejayaan, golongan Melayu ini mula beralih kepada agama, dan menyerahkan takdirnya di tangan Tuhan. Apabila wangnya dirompak, dia berkata “Sudah ketentuan Tuhan”, “Sudah takdir”, dan “Tuhan akan menghukum mereka di Neraka”.

Golongan Melayu ini meletakkan segala-galanya di tangan Tuhan bagi merungkai semua isu, walaupun sewajarnya dia berusaha melakukan sesuatu. Namun ini sebenarnya langkah baginya melarikan diri daripada memikul tanggungjawab.

Mungkin juga kerana orang-orang Melayu seperti ini terlalu ego bagi memohon bantuan daripada golongan bukan Melayu atau penganut ajaran bukan Islam. Kerana itu, mereka hanya memikirkan kehidupan selepas mati. Malangnya di dalam kehidupan ini, mereka merana malah ada yang menagih dadah bagi menyelesaikan masalah.

Golongan Melayu kebanyakan perlu menghindari kumpulan pelampau agama, pemimpin serta ulama yang menyebabkan hidup mereka dan anak-anak tersiksa.

Malaysia dibina dengan darah, keringat serta usaha pelbagai bangsa, termasuk orang-orang Melayu sendiri. Semua komuniti perlu bekerjasama bagi menjatuhkan rejim Mahathir serta pelampau agama ini.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.