Bekas mufti selar Isma, dakwa Kristian lebih dekat dengan Islam

Sunday, 18 May 2014

“Orang yang dekat dengan Muslim ialah Kristian. Al-Quran kata kamu akan dapati orang yang paling dekat perasaan sayangnya pada orang Islam itu adalah Kristian,"

Islam tidak ditindas di Malaysia dan kumpulan pendesak Islam yang berterusan memberi amaran tentang usaha Kristianisasi di negara ini hanya memalukan agama, kata Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Asri Zainul Abidin.

Bekas mufti Perlis itu berkata bukanlah sesuatu yang janggal jika seseorang pemimpin agama itu mahu berdakwah terhadap kepercayaan yang dianutinya kerana berasa apa yang diamalkannya tidak bercanggah sama sekali. 

"Saya nak ingatkan orang Islam. Janganlah terkejut kalau ada orang yang mengajak masuk Kristian. Sudah tentu pemimpin agama akan berasa agama dia betul dan mengajak orang lain masuk agamanya.

“Sesetengah orang Islam terperanjat macam nak kiamat dunia ini. Setiap hari macam-macam program Islam kita ada. Bermakna orang Islam gagal untuk kempen (kepada) Islam.

“Orang yang dekat dengan Muslim ialah Kristian. Al-Quran kata kamu akan dapati orang yang paling dekat perasaan sayangnya pada orang Islam itu adalah Kristian," katanya kepada The Malaysian Insider.

Asri diminta mengulas seminar kontroversi mengenai penggunaan kalimah Allah dan Kristologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada minggu lalu.

Beberapa penceramah mengingatkan umat Islam terhadap ancaman Kristianisasi selain mendakwa Bible sebagai kisah dongeng. Di majlis itu juga, buku bertajuk “Pendedahan Agenda Kristian” diedarkan di kalangan pelajar universiti.

Pelbagai ancaman yang dilontarkan kepada Kristian menjadikan hubungan dua hubungan agama terbesar di Malaysia itu semakin longgar setelah pertikaian kalimah Allah semakin memuncak.

Populasi Kristian di Malaysia sebanyak 2.9 juta orang dengan dua pertiga daripada jumlah itu berada di Sabah dan Sarawak.

Asri berkata dalam keadaan hari ini tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana penganut agama lain tidak melancarkan serangan untuk memusnahkan Islam.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) terus membibitkan api provokasi agama apabila menggelar kaum Cina yang datang dari tanah besar itu sebagai pendatang selain menyifatkan “bangsa asing” dan Zionis berniat mahu menghancurkan Islam.

Kenyataan badan bukan kerajaan (NGO) itu mendapat kecaman pelbagai lapisan masyarakat namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih belum memberikan kenyataan terhadap kebiadapan Isma itu.

Sehubungan itu, Asri menyelar NGO Muslim yang tampil secara ekstremis melindungi Islam kerana perbuatan itulah yang mencemarkan imej Islam dan menjadikan umat Islam ragu terhadap ajaran agama Islam sebenar.

“Janganlah kita berlebih sangat. Ada NGO tertentu yang nak promosi NGO mereka, berlebihan sangat.

“Nampak macam Islam pula yang lemah. Islam ada hujah yang kuat membuktikannya agama yang benar. Jangan risau sangat. Kita risau sebab kita tak buat kerja,” katanya.

Asri berkata Islam tidak menghalang kritikan terhadap agama lain namun ia perlu dilakukan secara ilmiah dan tidak sesekali berlandaskan kepada emosi dan permuduhan.

"Jika kita mencetuskan permusuhan dalam keadaan yang tenang akhirnya manusia akan berbalah sedangkan sebelum ini mereka (dalam keadaan) harmoni.

“Ini satu perkara yang tidak dibenarkan agama melainkan ada yang melancarkan peperangan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.