72 pendatang ditahan dekat Tanduo

Sunday, 18 May 2014

Sedangkan lokasi yang pernah menjadi medan perang dan masih dikawal oleh pasukan keselamatan masih diduduki oleh warga asing, inikan pula lokasi-lokasi lain yang jauh dari Kg. Tanduo..

LAHAD DATU: Seramai 70 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Gasak 9 yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) awal hari ini di Sinakut Lama.

Ia berhampiran Kampung Tanduo yang sebelum ini menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh Sulu.

Pengarah Pertahanan Esscom Mejar Jen Datuk Masrani Paiman berkata kesemua mereka termasuk 12 wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah atau memiliki dokumen yang meragukan.

Berbeza dengan lapan Ops Gasak sebelum ini, beliau berkata Ops Sinakut lama yang diketuai pegawai pemerintah (6 RAMD) Lt Kol Muhammad Fauzi dilancarkan selama dua jam bermula pukul 6 pagi itu hanya disertai anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

“Ops Sinakut lama ini (atau Ops Gasak 9) yang saya katakan sebagai operasi kerangka (framework operation) dilakukan ke atas sasaran yang dikenal pasti semasa ATM membuat rondaan rutin.

“Kita telah memeriksa sebanyak 54 rumah di kampung Sinakut lama dan seterusnya menahan 70 orang kerana tidak memiliki dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Masrani berkata anggota ATM dan PDRM turut menangkap dua orang PATI di Kampung Sungai Bilis, berdekatan Kampung Sinakut lama jam 9.55 pagi.

Beliau berkata Ops Gasak yang akan diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) itu bertujuan membersihkan zon berkenaan daripada pendatang tanpa izin.

Esszone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau, dan daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.