Polisi tidak konsisten halang bahasa Melayu jadi elemen penyatuan

Sunday 18 May 2014

"Jika bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan, sepatutnya tidak ada apa-apa sekatan ke atas penggunaan dan orang yang dapat menggunakannya."

Dasar tidak konsisten kerajaan terhadap bahasa Melayu dan usaha berterusan kumpulan pendesak Melayu untuk mengikat satu kaum dan agama memecahkan rakyat Malaysia dan mencetuskan konflik seperti perebutan ke atas penggunaan kalimah Allah.

Dengan mengikat bersama-sama etnik, Islam dan bahasa Melayu antara satu sama lain, kumpulan yang dipanggil "pejuang bahasa" mengurangkan capaian bahasa itu dan merosotkan minda sebahagian masyarakat Melayu, satu forum diberitahu malam tadi.

Novelis Faisal Tehrani berkata, pengharaman penggunaan bahasa Melayu oleh orang Kristian, yang dilihat melalui rampasan Bible Melayu, menyebabkan bahasa Melayu eksklusif untuk satu komuniti sahaja.

Bagaimanapun, amalan ini juga bercanggah dengan dasar kerajaan sendiri yang mengatakan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang sepatutnya diguna pakai semua rakyat.

"Apabila bahasa terikat kepada satu bangsa dan agama ia sebenarnya dapat meningkatkan rasa sensitiviti (antara masyarakat).

"Oleh itu, apabila seorang Cina berkata ‘insya-Allah’, orang Melayu terkejut. Tetapi dalam realiti, ia bererti jika diizinkan Allah. Sama seperti ucapan salam. Ia sekadar ucapan keamanan.

"Ini adalah masalah yang timbul apabila pihak berkuasa cuba untuk mengawal bahasa," kata Faisal, yang merupakan fellow di Institut Dunia dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Novel Faisal "Perempuan Nan bercinta" baru-baru ini diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana kononnya mengandungi unsur Syiah.

Kegagalan kerajaan Barisan Nasional mentadbir persekutuan bagi menyelesaikan isu penggunaan perkataan Allah adalah "dosa keempat" bagi Faisal terhadap bahasa Melayu.

Faisal berkata demikian pada forum bertajuk "Bahasa Jiwa Bangsa, Bahasa Jiwa Kuasa?" anjuran Institut Pulau Pinang di Shah Alam.

Penceramah lain pada forum itu termasuk Sasterawan Negara Profesor Muhammad Salleh, Fellow Institut Pulau Pinang Dr Mustafa K Anuar dan kolumnis Malaysiakini Pauline Fan.

Faisal berkata dasar bahasa mula bermasalah di Malaysia pada tahun 30-an apabila penulis terkenal Munshi Abdullah mempromosikan keyakinan bahawa setiap masyarakat perlu dikenal pasti dengan satu bahasa.

Jadi bahasa Melayu dikenal pasti dengan masyarakat Melayu. Menariknya, Munshi merupakan etnik Tamil. Ini adalah "dosa pertama" terhadap bahasa Melayu, kata Faisal.

Dosa kedua adalah apabila idea Munsyi ini kemudian diterima pakai dan dipromosikan nasionalis Melayu dalam Umno yang juga dimasukkan ke dalam kempen kebebasan mereka menentang penjajah British.

Dosa ketiga, Faisal berkata adalah apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menukar dasar bahasa kebangsaan dengan cara mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

"Satu kajian pada masa ini menunjukkan majoriti keluarga Cina Malaysia di Kelana Jaya, bahasa Inggeris merupakan bahasa ketiga mereka. Yang pertama ialah Mandarin, diikuti Melayu. "

Muhammad pula berkata, penggunaan sesetengah istilah Melayu itu sendiri menggambarkan kerajaan dan orang awam bermasalah kerana ia dipupuk berdasarkan mentaliti tuan penjajah.

"Perkataan rakyat sebenarnya dipasangkan dengan raja dan kerajaan. Rakyat tertakluk kepada konotasi tunduk. Saya lebih suka warganegara."

Muhammad juga berkata yang peliknya, sistem sekolah British yang beliau sendiri mempunyai pengalaman dalam 50-an, pelajar digalakkan membahas dan berfikir untuk diri sendiri berbanding dengan sistem pendidikan Malaysia hari ini.

"Jika kita mengurangkan perdebatan dan dialog, kita tidak akan mencapai bentuk baru pemahaman dan pengetahuan."

Fan, yang banyak menterjemahkan bahan dalam bahasa Jerman dan Inggeris ke bahasa Melayu mendapati budaya dan ahli-ahli masyarakat Melayu berfikiran terbuka dan toleran.

Nilai ini bertentangan dengan nada yang diambil kumpulan yang mendakwa bercakap bagi pihak orang Melayu.

"Saya tidak pernah menemui unsur perkauman yang anda sering baca dalam akhbar-akhbar Melayu daripada orang Melayu biasa."

Mustafa Kamal menyokong idea ini dan berkata perebutan ke atas nama Allah dan pengenalan Melayu dengan satu komuniti telah menghalang Melayu daripada menjadi bahasa yang menyatukan semua masyarakat.

"Apabila anda mempunyai satu kumpulan yang kononnya boleh menggunakan istilah tertentu dan kumpulan-kumpulan lain tidak boleh menggunakannya, maka anda membahagikan bahasa dan rakyat. Ia adalah satu bentuk apartheid.

"Jika bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan, sepatutnya tidak ada apa-apa sekatan ke atas penggunaan dan orang yang dapat menggunakannya."

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.