Beliau dikritik bertubi-tubi sehingga ada warga netizen menggesa penyanyi itu diboikot..
KOTA KINABALU: Selepas dikecam, dikritik dan dihentam habis-habisan oleh peminatnya di Sabah dan warga netizen, penyanyi ‘Anak Kampung’ Jimmy Palikat, akhirnya menarik balik permohonan untuk menyertai pertubuhan NGO, Perkasa.
Beliau dikritik bertubi-tubi sehingga ada warga netizen menggesa penyanyi itu diboikot manakala kisah peribadinya juga dijaja di media sosial yang marah dengan tindakannya menyertai Perkasa, pimpinan Datuk Ibrahim Ali yang dilihat penduduk Sabah sebagai rasis, anti Kristian dan tidak hormat penduduk Sabah.
Penarikan balik itu diumumkan sendiri oleh Jimmy dalam Facebook pada Ahad.
“Saya telah meminta nasihat dan pandangan sahabat-handai, ahli-ahli keluarga serta pemimpin-pemimpin Sabah yang saya kenali,’ tulisnya.
“Setelah menimbang semua pandangan, saya mengambil keputusan untuk menarik balik permohonan saya menjadi ahli Perkasa berkuatkuasa serta-merta,” kata Jimmy dalam kenyataannya itu.
Menurut Jimmy, perjuangan dan kerjaya seninya bermula di negeri Sabah dan walaupun kerjayanya juga berkembang ke seluruh negara, namun negeri Sabah tetap negeri kesayangannya.
“Saya bangga menjadi orang Sabah. Sokongan rakyat Sabah dan Malaysia telah membantu saya berada di tahap kerjaya yang saya kecapi sekarang. Saya terhutang budi kepada mereka yang menyokong kerjaya saya daripada mula hingga sekarang,” katanya lagi.
Jimmy berkata, dia tidak akan mengambil sebarang tindakan dan keputusan yang boleh dianggap sebagai tidak selari dengan aspirasi serta harapan peminat-peminat yang telah memberi sokongan kepadanya.
Malah katanya, dia menghargai semua teguran membina yang pasti membantunya menjadi insan yang lebih baik.
“Saya juga tetap menjunjung tinggi seni-budaya dan toleransi berbilang kaum dan agama yang menjadikan amalan masyarakat Sabah. Saya tidak pernah lupa diri atau asal-usul saya,” katanya mengakhiri kenyataanya itu.
Sebelum itu Jimmy berkata, permohonannya untuk menjadi ahli Perkasa menjadi isu hangat di kalangan peminatnya di Sabah.
“Niat saya adalah ikhlas iaitu mahu mengembangkan kerjaya seni melalui jaringan seni yang lebih luas bersama warga seni yang menjadi ahli pertubuhan NGO itu,” kata Jimmy.
Katanya, dia sama sekali tidak ada niat membabitkan diri dalam perjuangan politik pertubuhan itu kerana dia bukan seorang ahli politik.
Malangnya, permohonan menjadi ahli Perkasa itu telah disalah-tafsir sebagai menyokong pendirian pertubuhan itu dalam isu-isu tertentu yang tidak disenangi oleh sebahagian masyarakat Sabah dan Sarawak.
“Saya faham dan menghargai sensitiviti mereka. Sebagai ‘orang Sabah’ saya masih tetap kekal berpendirian sebagai ‘orang Sabah’ yang memiliki toleransi tinggi dalam hubungan kaum dan agama,” katanya.
Jimmy Palikat terkenal kerana lagu ‘Anak Kampung’. Lagu itu mengisahkan anak muda dari kampung yang menyintai seorang gadis tetapi pasrah kerana dia hanyalah lelaki yang miskin.
Melodi dan lirik lagu itu yang ‘catchy’ menyebabkan ianya disukai dan sering dinyanyikan di majlis-majlis keramaian. Lagu itu juga dimasukkan dalam Youtube dalam pelbagai versi dan parodi yang dinyanyikan dalam bahasa lain termasuk Indonesia dan Thailand.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.