Setakat ini baki ketebalan tanah bercampur batu hanya tinggal kira-kira satu meter lagi untuk sampai ke ruang harta karun.
MELAKA - Keputusan teknik imbasan yang diperolehi pada sebuah lubang di tapak lokasi pencarian, memberi petunjuk kewujudan harta karun di Pulau Nangka bukan sekadar angan-angan kosong.
Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata, pihaknya sudah melakukan 10 imbasan dan terdapat unsur logam dipercayai harta karun.
"Memang kita yakin ada harta karun di bawah lubang yang digali. Keputusan diperolehi menerusi 10 imbasan dilakukan, hasilnya tetap sama. Diperkuatkan lagi dengan beberapa individu mengaku menyaksikan sendiri harta itu sebelum ini.
“Berikutan itu, kita masih meneruskan kerja penggalian sehingga ke ruang harta karun. Setakat ini baki ketebalan tanah bercampur batu hanya tinggal kira-kira satu meter lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohammad Foad mengakui, sukar meramalkan tempoh kerja berkenaan, namun berharap ia dapat diselesaikan dalam seminggu ini.
“Semuanya bergantung kepada cuaca. Jika baik, akan melancarkan lagi kerja-kerja mengeluarkan tanah pada baki lapisan berkenaan,” katanya.
Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka sama ada mahu melanjutkan tempoh kontrak Smart Partnership.
Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas berkata, syarikat itu sudah 13 kali diberi tempoh lanjutan dan kini menunggu sama ada perlu meneruskan kerja atau meninggalkan pulau itu.
"Kita masih menunggu jawapan Ketua Menteri Melaka sampai bila syarikat ini diberi peluang. Terpulang kepada kerajaan negeri beri lanjutan dan berapa lama kerana Perzim sudah beri cukup peluang,” katanya.
Khamis berkata, walaupun kontrak berakhir 30 April lalu, Smart Partnership masih melakukan pencarian menerusi kebenaran ihsan kerajaan negeri.
Sementara itu, Perzim bercadang menubuhkan bilik operasi di pulau terbabit dengan meletakkan kakitangannya bagi memudahkan pengurusan, selain kemudahan pengunjung.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.