Kebanyakan negara yang mengamalkan hudud, mundur dari segi ekonomi, sukar menarik pelabur asing dan kaum wanitanya teraniaya..
Mariam Mokhtar
Malaysia di persimpangan dan jika tersalah haluan, mungkin tidak akan dapat diselamatkan. Pemimpin kita bergeseran angkara hudud, sedangkan rakyatnya sedar implikasinya amat besar. Kita tidak mempertikaikan Islam tetapi hudud, sekiranya dilaksanakan di Kelantan, bakal merubah Malaysia yang dihuni rakyat berbilang bangsa. Jika hudud dilaksana, negara Malaysia mungkin akan dijenamakan semula dan menjadi Malaynistan.
Orang bukan Islam akan turut terkesan dengan perlaksanaan hudud. Dalam pada itu, bukan semua umat Islam bersetuju dengan perlaksanaannya. Tidak wajar menggelar orang-orang Melayu yang menentang perlaksanaan hudud sebagai tidak tahu agama, liberal atau kebaratan. Itu pandangan yang tersasar jauh.
Jika pemimpin kita telah gagal memberi inspirasi, wajarlah kita pula memimpin mereka. Lupakan seketika terma Melayu, Cina, India atau Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya. Mengapa pemimpin kita tiada prinsip dan memimpin kita berdasarkan apa yang diperlukan negara secara keseluruhan?
Datuk Seri Najib Razak enggan berkata hudud tidak dapat diterima. Inilah falsafah Najib, memberi tanggapan semuanya baik baik sahaja. Beliau tahu ramai orang Melayu menentang hudud dan beliau harap akan menarik mereka ini ke pangkuan partinya Umno Baru.
Jika hudud mampu meraih sokongan semua, mengapa Umno Baru tidak memasukkannya ke dalam kempen pada pilihanraya umum yang lalu? Najib sedar kepincangan yang akan terhasil akibat hudud. Beliau tahu bahawa kebanyakan negara yang mengamalkannya mundur dari segi ekonomi, sukar menarik pelabur asing dan kaum wanitanya teraniaya.
Karpal Singh tepat apabila berkata kita wajar merujuk serta menegakkan perlembagaan. Malaysia ditubuhkan dengan asas sebuah negara sekular di mana agama diasingkan dari politik. Kita mengamalkan demokrasi berperlembagaan. Hudud bakal menjadikan Malaysia negara yang theokrasi.
Perdana Menteri pertama kita Tunku Abdul Rahman merupakan penaung budaya tradisi Melayu, bolasepak Asia dan lumba kuda tempatan. Pada 1975, rakan-rakannya menawarkan saham bagi kuda lumba mereka, Think Big, yang menyertai perlumbaan di Australia. Kuda itu memenangi Melbourne Cup dan ketika menerima trofi kemenangan, Tunku menukarkan topi yang dipakainya dengan songkok, memegang piala di tangan, seraya berkata: “Terima kasih kepada Tuhan di atas kemenangan ini.” Tunku mengulanginya ketika majlis keraian Victory Cup di sebelah malamnya.
Adakah Tunku bukan penganut Islam yang baik kerana meminati lumba kuda? Jika hudud terlaksana, bagaimana nasib orang-orang melayu dan umat Islam yang kini berkerja di sektor melibatkan perjudian dan arak? Mereka mungkin di dalam sektor penghantaran, perhotelan dan sebagainya? Adakah kerajaan dikehendaki memberi bantuan jika mereka hilang punca pendapatan? Adakah sektor pekerjaan tersebut hanya bagi bukan Islam?
Tarian Melayu dan Ronggeng amat popular di Malaya sebelum pendudukan Jepun dari 1942 hingga 1945. Tunku mahu mendirikan pusat budaya Melayu dan menghidupkan amalan tradisi. Dengan bantuan golongan muda, Tunku menghidupkan kembali tarian Melayu lama di samping memperkenalkan tarian sebagai cara berdiplomasi sambil berhibur.
Ketika menjadi PM, Tunku menghiburkan para tetamu dan di dalam biografinya “Tunku: His Life and Times” tulisan Mubin Sheppard, para tetamu ini menari Ronggeng selepas majlis makan malam.
Hari ini tarian Melayu telah dilupakan. Ramai yang pasti ingat majlis perkahwinan Melayu dahulu yang diserikan dengan majlis tari-menari. Ianya seronok dan tidak seperti majlis sekarang yang lebih bersifat menunjuk-nunjuk kemewahan.
Tunku seorang yang berpegang pada agama, tetapi tidak lupa warisan Melayu. Adakah hudud akan menenggelamkan segala warisan budaya bangsa? Jika tarian, nyanyian dan pendidikan bagi kaum wanita dinafikan di Afghanistan, ia mungkin terjadi juga di Malaysia?
Tunku seperti rakyat Malaysia yang lain. Beza Tunku dengan pemimpin-pemimpin negara kita hari ini ialah Tunku tidak pandai bermuka-muka dan tidak bersikap hipokrit.
“Apa yang anda lihat, itulah sikap saya” merupakan sikap yang menyebabkan Tunku disenangi ramai. Apabila dinasihati salah seorang ahli Umno agar berhenti minum arak di mesyuarat parti, Tunku berkata: “Rakyat perlu terima saya seadanya: Tabiat buruk dan baik saya. Pada usia 48 tahun, saya tidak akan dapat berubah.”
Kita kini saksikan penurunan angka orang-orang bukan Melayu di bidang kesenian dan sukan di tanahair. Apa akan terjadi sekiranya hudud terlaksana?
Undang-undang Syariah mempunyai tafsiran berbeza mengikut negeri, contohnya di dalam kes poligami. Bagaimana negara ingin maju jika tidak ditadbir dengan acuan sama? Sebuah negeri di selatan tanahair memutuskan seorang bekas sultanah telah diceraikan, sembilan bulan selepas kemangkatan suaminya. Apakah kekeliruan lain yang akan timbul akibat hudud?
Perlembagaan menyatakan bahawa Islam dilindungi sebagai agama rasmi Malaysia. Pemimpin kita kononnya menghalang ekstremisme tetapi tidakan mereka sebenarnya tidak berkesan. Pihak berkuasa memejam mata terhadap mereka. Golongan radikal agama memporak-peranda negara dengan merampas kitab Bible dan mengharamkan beberapa perkataan. Rumah ibadat mereka mungkin dikenakan syarat dan baru-baru ini, hotel dilarang menyediakan kitab Bible di bilik-bilik mereka. Apa lagi kejutan buat orang Islam dan penganut bukan Islam?
Di dalam Islam, wanita dan lelaki dilayan sama rata tetapi di Malaysia, jelas terdapat ketidakadilan; rakyat jelata, rakyat kaya-raya, kroni dengan hubungan istimewa, elit Umno Baru, ulama dan Raja-Raja. Bekas sultanah itu kini mengetahui bahawa undang-undang Syariah sekalipun, tidak dapat melindunginya.
Pengajaran daripada kisah ini: Di Barat, peguam baik tahu mengenai undang-undang, di Malaysia, peguam baik kenal para hakim.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.