Universiti di Malaysia tidak tersenarai dalam institusi ‘muda’ terbaik

Thursday, 1 May 2014

Apa yang lebih memalukan, universiti daripada Arab Saudi dan Iran turut berjaya berada dalam senarai daripada 29 negara – termasuk India yang berjaya buat kali pertama.


Sekali lagi universiti awam di Malaysia gagal mencapai piawaian antarabangsa bagi institut pengajian tinggi dunia, kali ini tertinggal jauh dalam ranking terbaru tahunan bagi universiti berusia di bawah 50 tahun Times Higher Education Top 100 Universities.

Empat universiti Asia yang berjaya masuk dalam senarai 10 universiti “muda” terbaik dunia termasuk Pohang University of Science and Technology Korea Selatan yang mendapat tempat teratas, Hong Kong University of Science and Technology (4) dan Nanyang Technological University, Singapore (5).

Bagaimanapun, Malaysia gagal untuk tersenarai bagi tahun kedua. Dalam ranking pertama pada 2012, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada di tempat ke-98.

Ini berlaku ketika Putrajaya mendakwa Malaysia mempunyai salah satu sistem pendidikan terbaik dunia, lebih baik daripada Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jerman.

Universiti daripada kedua-dua negara AS dan UK berjaya tersenarai dalam senarai 10 teratas, mengikut laporan tinjauan yang dikeluarkan hari ini.

Apa yang lebih memalukan, universiti daripada Arab Saudi dan Iran turut berjaya berada dalam senarai daripada 29 negara – termasuk India yang berjaya buat kali pertama.

Times Higher Education (THE) menyimpulkan universiti muda ini (ditubuhkan sebelum 1964) sebagai bintang bersinar yang menunjukkan potensi baik.

"Walaupun mereka mungkin tidak mempunyai berabad-abad untuk mengumpul harta dan tidak boleh bergantung kepada generasi alumni dan tradisi yang kaya dengan biasiswa untuk memandu reputasi, mereka bebas daripada beban sejarah: bebas menjadi lebih tangkas, fleksibel dan mengambil risiko , memberikan mereka kelebihan dalam pasaran global yang pesat berubah," kata pengarang ranking THE, Phil Baty tentang universiti muda .

Malaysia turut gagal tersenarai dalam ranking Reputasi Dunia THE – yang dikeluarkan bulan lalu, berada di belakang negara Asia Tenggara lain.

Kegagalan Malaysia untuk tersenarai dalam ranking universiti dunia walaupun mendapat bajet besar setiap tahun menyebabkan pembangkang memberi tekanan kepada Putrajaya kerana prestasi buruk itu.

Kementerian Pendidikan menerima RM38.7 bilion pada 2013 dan ditingkatkan kepada RM54 bilion tahun ini, bajet terbesar yang mereka terima dalam sejarah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang antara yang lantang mengkritik standard pendidikan Malaysia, memberi amaran sebelum ini universiti tempatan kehilangan arah bukan sahaja bagi universiti terkemuka dunia, tetapi juga kepada institusi di rantau ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata senarai bagi universiti di bawah 50 tahun lebih adil berbanding senarai lain THE seperti Ranking Universiti Dunia yang turut menyenaraikan universiti tua seperti Oxford, Harvard dan Cambridge.

“Kegagalan universiti di Malaysia yang kebanyakannya di bawah 50 tahun kecuali Universiti Malaysia untuk masuk dalam senarai adalah sesuatu yang memalukan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Lebih buruk lagi UKM yang sebelum ini mendapat tempat ke-98 pada 2012 terkeluar daripada senarai,” katanya.

Beliau berkata, hakikat negara seperti Arab Saudi, Iran dan India mencapai kemajuan luar biasa dalam bidang pendidikan adalah bukti keadaan sosio-politik dan ekonomi yang buruk bukan halangan kepada kecemerlangan akademik.

"Jelas sekali, universiti di Malaysia adalah tidak kompetitif, dan akan terus menjadi begitu sehingga masalah asas ditangani, seperti kekurangan kebebasan akademik, autonomi dan kualiti fakulti," kata pemimpin muda DAP itu.

Katanya, tindakan menghalang bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan untuk memberikan ucapan dalam acara undang-undang di Universiti Malaya bulan lalu merupakan salah satu contoh kepada masalah asas yang beliau maksudkan.

“Jika tokoh peguam dalam negara dihalang untuk bercakap kepada bakal peguam, bagaimana kita mahu harapkan pelajar universiti kita berfikiran kritis yang penting dalam keadaan ekonomi yang kompetitif?

“Jelas campur tangan politik berlaku yang sudah pasti tidak akan membantu sesuatu institusi untuk melahirkan pemimpin masa depan,” katanya dan menambah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilayan dengan begitu baik di universiti berkenaan sebelum itu.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.