Menteri berkata ada pencerobohan manakala laksamana pula berkata sebaliknya. Siapa yang bercakap benar dan siapa yang bercakap bohong? Rakyat Sabah dan Sarawak berhak untuk mengetahui sama ada benar atau tidak berlaku pencerobohan oleh kapal perang China di perairan mereka..
Berdasarkan jawapan bertulis yang diberikan oleh Parlimen, pencerobohan kapal perang China dalam kawasan perairan negara di Laut China Selatan berlaku hampir setiap tahun sejak 2011. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan, pada 2013 berlaku peningkatan pencerobohan oleh aset China yang tertumpu di kawasan Beting Patingi Ali, Beting Raja Jarom dan Beting Serupai (James Shoal). Semuanya terletak dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif Malaysia (ZEE).
Sepanjang 2013 sehingga Februari 2014, sebanyak 7 pencerobohan dikesan yang melibatkan 16 aset tentera laut yang dikenali sebagai People's Liberation Army Navy dan juga China Coast Guard.
Pada Januari 2014 Tentera Laut Diraja Malaysia menafikan berlaku pencerobohan oleh Tentera Laut China di perairan Terumbu atau Beting James. Kawasan ini terletak di Laut China Selatan yang dituntut oleh Malaysia.
TLDM menafikan dakwaan berlaku pencerobohan di perairan negara kita. Menurut TLDM, tiga kapal perang China yang sedang menjalani latihan di perairan Kepulauan Spartly pada 26 Januari 2014 itu tidak memasuki perairan negara kita. Panglima TLDM, LaksamanaTan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pemantauan dan risikan daripada pihak TLDM mendapati ketiga-tiga kapal perang China itu berada jauh dari kawasan perairan Beting James.
Beting James yang berdekatan dengan Kepulauan Spartly terletak kira-kira 320 batu nautika dari Bintulu, Sarawak. Kawasan ini amat kaya dengan sumber asli terutamanya petroleum. Kawasan ini dituntut oleh Malaysia, China dan Taiwan dalam pertikaian kawasan kepulauan Spartly di Laut China Selatan.
Kenyataan laksamana TLDM itu bercanggah dengan jawapan yang diberikan oleh menteri. Laksamana menafikan pencerobohan, manakala menteri di Jabatan Perdana Menteri pula memberi jawapan pencerobohan memang berlaku sekurang-kurangnya satu kes setiap tahun mulai 2011.
Menurut laksamana lagi, TLDM mengetahui tentang kehadiran 3 kapal perang China di kawasan perairan Laut China Selatan. Beliau menegaskan tiada pencerobohan seperti didakwa.
Ini adalah isu keselamatan negara. Menteri berkata ada pencerobohan manakala laksamana pula berkata sebaliknya. Siapa yang bercakap benar dan siapa yang bercakap bohong?
Rakyat Malaysia terutamanya dari Sabah dan Sarawak berhak untuk mengetahui sama ada benar atau tidak berlaku pencerobohan oleh kapal perang China di perairan Malaysia di Laut China Selatan.
Pada Februari 2014, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pula berkata kementeriannya tidak menerima sebarang maklumat berhubung kejadian pencerobohan 3 kapal perang China di perairan Sarawak seperti yang dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa.
Perbezaan fakta dan pendapat ini membuktikan kerajaan tidak serius dalam isu keselamatam negara. Adakah kerajaan cuba menutup sesuatu akibat daripada pencerobohan itu? Menjaga hubungan antarabangsa bukan alasan yang munasabah apabila isu keselamatan rakyat dan negara timbul.
Shahidan mengakui pencerobohan kapal perang China di perairan negara kita. Persoalannya ialah kenapa kerajaan Malaysia tidak dapat berbuat apa-apa ketika pencerobohan itu berlaku. Kemasukan kapal perang China di perairan Malaysia harus dianggap sebagai satu ancaman. Kerajaan persekutuan harus bertanggungjawab kepada segala kesan dan akibat kegagalan mereka bertindak terhadap kemasukan kapal perang di perairan Malaysia.
Kerajaan harus memberi penjelasan penuh mengenai kemasukan 3 kapal perang China pada Januari tahun ini. Ini penting untuk keselamatan rakyat dan kedaulatan negara. Kerajaan tidak boleh lupa kepada Perjanjian Malaysia 1963 yang menjanjikan perlindungan keselamatan kepada Sabah dan Sarawak. Perjanjian ini dibuat oleh pemimpin Malaya, Sabah dan Sarawak. Perkara keselamatan Sabah dan Sarawak adalah salah satu syarat penyertaaan dan penubuhan Malaysia.
Saya masih tidak faham kenapa tentera laut kita gagal bertindak ke atas kehadiran kapal laut China yang memasuki perairan Sarawak? Kerajaan harus bertanggungjawab dan memberi jawapan yang dikehendaki untuk menjaga kepentingan dan kedaulatan negara kita ini.
Kerajaan juga harus mengambil segala langkah keselamatan supaya pencerobohan seperti ini tidak akan berlaku pada masa depan dan bertindak tegas terhadap sesiapa jua yang melanggar memasuki sempadan negara kita.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.