Kanak-kanak 3 tahun diculik di Kg. Air Kota Kinabalu

Saturday 10 May 2014

Kanak-kanak umur 3 tahun hilang di Kampung Air, Kota Kinabalu. Jika jumpa sila hubungi 013-8685336/013-8605336. Ganjaran akan ditawarkan  sebanyak RM20,000. - Daily Express Newspaper (May 10, 2014)

KOTA KINABALU: Seorang bapa menyesal tidak sudah apabila anak lelakinya yang ditinggalkan tidur dalam kenderaan tidak berkunci untuk ke tandas di sebuah stesen minyak di Kampung Air di sini semalam menyebabkan dia kehilangan anak kesayangan itu yang sehingga kini tidak diketahui nasibnya.

Sebelum kejadian pada pukul 6 pagi itu, Low Yee Shang, 31, dan anaknya, Low Min You (gambar kecil), 3, baru sahaja meninggalkan kawasan rumah mereka di Telipok menuju ke pusat bandar.

Bagaimanapun, dalam perjalanan itu, Yee Shang singgah di stesen minyak tersebut untuk membuang air kecil.

Ketika itu, Min You sedang tidur di tempat duduk belakang menyebabkan mangsa tanpa berfikir panjang meninggalkan anaknya itu tanpa mengunci dan mematikan enjin kenderaan Toyota Hilux Vigo.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, bapa mangsa yang keluar dari tandas di stesen minyak itu beberapa minit kemudian terkejut apabila mendapati kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan anaknya hilang.

Bagaimanapun, menurut beliau, selepas kira-kira tiga jam kejadian itu, kenderaan tersebut ditemui ditinggalkan berhampiran Bukit Bendera yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari lokasi kereta itu hilang.

“Ketika ditemui, kenderaan tersebut dalam keadaan berkunci namun seorang budak lelaki yang dilaporkan berada di dalam kenderaan itu tiada,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Jauteh memberitahu, pihaknya percaya suspek telah meninggalkan kenderaan tersebut di lokasi itu dan membawa lari kanak-kanak terbabit bersama kunci kenderaan.

Sehubungan itu, polis masih menyiasat motif kejadian ini dengan melihat segala kemungkinan termasuk mengenal pasti sama ada kejadian ini dilakukan oleh secara individu atau penjenayah berkumpulan.

“Polis yang menyiasat lokasi kejadian mendapati televisyen litar tertutup yang dipasang di stesen minyak itu tidak meliputi lokasi kenderaan itu diletak sebelum hilang,” kata beliau.

Jauteh berkata, polis telah mengambil keterangan daripada isteri dan ahli keluarga mangsa untuk membantu siasatan kes itu.

Bagaimanapun, sehingga petang semalam, kanak-kanak itu belum ditemui malah keluarga mangsa juga belum menerima sebarang panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang meminta tebusan.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.