Isma terdiri dari orang bodoh dan tidak masuk akal

Saturday 10 May 2014

Isma terdiri daripada orang yang tidak faham tentang fabrik sosial dan agama di Malaysia, dan dengan itu mereka cenderung untuk membuat kesilapan bodoh dan kenyataan tidak masuk akal tentang Islam..

Penggubal undang-undang Sarawak bersatu menentang peningkatan ekstremisme dan ketaksuban agama terutamanya Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang sejak akhir-akhir ini mengeluarkan komen provokatif terhadap masyarakat bukan Islam di Malaysia.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing melabelkan Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman sebagai “angkuh” kerana kenyataannya yang mengatakan hudud harus dikenakan terhadap bukan Islam juga.

“Isma terdiri daripada orang yang tidak faham tentang fabrik sosial dan agama di Malaysia, terutamanya di Sarawak dan dengan itu mereka cenderung untuk membuat kesilapan bodoh dan kenyataan tidak masuk akal tentang Islam.

“Ia tidak baik bagi Islam dan Isma bukanlah refleksi kepada gambaran majoriti Islam di Malaysia,” kata Masing kepada The Malaysian Insider di Kuching.

Beliau berkata, Malaysia merupakan negara berbilang agama dan kaum dan Abdullah angkuh untuk mengatakan hudud boleh dilaksanakan dalam negara yang mempunyai populasi 30 juta rakyat berbilang kaum dan agama.

Masing berkata, jika ekstremisme sedemikian masuk ke Sarawak, rakyat Sarawak perlu bersatu dalam isu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How dari PKR bersetuju dengan Masing tetapi berpendapat Abdullah adalah sebahagian daripada rancangan Putrajaya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan kerajaan.

“Saya syak watak seperti ini untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu menekan mereka seperti kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan ketidakadilan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Semalam, presiden Isma berkata hudud perlu dilaksanakan untuk kesejahteraan negara kerana penjenayah akan takut untuk melakukan jenayah.

Abdullah yang merupakan graduan Mesir itu berkata, hudud bagi semua rakyat Malaysia akan menyebabkan “kepentingan negara dan keselamatan rakyat terpelihara”.

See berkata, syak wasangka beliau diperkuatkan dengan tindakan pemimpin tertinggi negara yang hanya berdiam diri termasuk perdana menteri apabila kenyataan merosakkan sedemikian dilakukan.

Beliau berkata, kenyataan Isma merupakan provokasi dan memecahbelahkan negara.

Satu-satunya ahli Umno yang mengecam kenyataan presiden Isma itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata semalam komen tersebut tidak kontsruktif untuk negara.

"Dia sepatutnya simpan sahaja pandangannya. Mereka tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada negara ini," kata Dr Mahathir di Kuala Lumpur semalam.

Adun Nangka dari BN, Annuar Rapa’ee turut mengecam kenyataan Abdullah.

“Tidak relevan (untuk bercakap soal hudud). Ia masih belum dilaksanakan lagi,” katanya.

Adun Demak Laut dari BN, Dr Hazland Abang Hipni turut menyentuh tentang hudud dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam dan menyelar sebarang bentuk ekstremisme agama.

Beliau berkata, ini merupakan sebab mengapa Sarawak menghalang kemasukan golongan taksub agama ke negeri itu.

Negeri terbesar Malaysia itu menghalang orang seperti Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali untuk masuk ke negeri berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.