Iktibar ucapan Obama tentang rasuah dan kronisme

Thursday, 1 May 2014

PR tidak lagi menggunakan isu nepotisme sebagai senjata kerana PKR dan DAP pun dibelit nepotisme tahap tegar dan politik anak-beranak.


Kelmarin saya berkesempatan berjumpa dengan kawan lama dari Pulau Pinang yang merupakan anak kelahiran Alor Merah, Alor Setar Kedah. Beliau adalah kontraktor dan pemilik syarikat sajian makanan yang terkenal di utara Semenanjung.

Selepas bersembang panjang mengenai kisah keluarga, tiba-tiba dahi lelaki berusia lebih 50 tahun itu mula berkerut mengenangkan masalah yang dihadapi.

Sebagai seorang yang sudah berjaya, beliau tidak memikirkan sangat soal kepentingan dirinya tetapi ia lebih kepada soal masa depan negara.

"La nie semua depa sapu... kontrak, tender depa dah bubuh (letak) orang-orang depa daripada UMNO Bahagian," katanya dengan nada perlahan tetapi jelas menzahirkan kekecewaan.

Mendengar keluhan itu, minda saya bingkas teringatkan isi kandungan ucapan Barack Obama di Universiti Malaya (UM) yang menyentuh soal rasuah dan kronisme.

Dalam perjumpaan anjuran Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI), Obama membayangkan golongan muda adalah generasi masa depan yang menjadi pendukung kepada kemajuan dan keusahawanan bukannya kronisme dan rasuah.

"Saya lihat keinginan untuk kesejahteraan menerusi keusahawanan, bukan rasuah atau kronisme," kata Presiden Amerika Syarikat itu. 

Memang benar tiada kaitan di antara kawan saya dengan Obama tetapi persamaan di antara mereka ialah, inti persoalannya yang mereka zahirkan adalah sama – isu rasuah dan kroni - yang diperkatakan di Malaysia.

Ia adalah barah yang kalau dibiarkan boleh menyebabkan sesebuah negara menjadi mundur dan hancur! Tidak keterlaluan dikatakan isu ini menjadi perhatian semua orang - orang biasa atau pak menteri, orang bandar atau orang kampung.

Pakatan Rakyat (PR) menggunakan isu tersebut untuk dijaja pada dua pilihanraya umum berturut-turut (PRU-12 dan PRU-13) hingga menyebabkan banyak calon Barisan Nasional (BN) gulung tikar walaupun hakikatnya parti komponen PR juga bukanlah bebas dalam unsur tersebut.

Pada 1998, pasca zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, pembangkang menyerang BN dengan satu lagi isu iaitu nepotisme untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed yang dikaitkan dengan pemberian kontrak kepada kaum kerabat. 

Tetapi hari ini, PR tidak lagi menggunakan isu nepotisme sebagai senjata kerana PKR dan DAP pun dibelit nepotisme tahap tegar dan politik anak-beranak. 

Pada PRU-12, paling klasik ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor di bawah BN jatuh ke tangan PR pada pilihanraya 2008 akibat rakyat muak dengan amalan negatif kepimpinan BN yang bergelumang dengan rasuah dan kronisme. 

Bagaimanapun, setelah rakyat melihat kepimpinan PAS di Kedah dihantui pelbagai masalah maka BN diberikan semula kepercayaan mengemudi Kedah pada PRU-13. 

Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang tetap 'totok' di bawah PR disebabkan kelemahan kepimpinan BN manakala Perak mempunyai kisah tersendiri yang mengembalikannya ke pangkuan BN.

Soalnya, jika persepsi kronisme dan rasuah ini muncul semula di negeri-negeri di bawah BN, adakah calon-calon BN bakal 'jatuh terduduk' pada Pilihan Raya Umum Ke-4 (PRU-14) akan datang?

Menurut rakan-rakan yang dekat dengan kepimpinan UMNO di Utara, amalan kronisme dan rasuah kini membiak semula seolah-olah sekarang masanya untuk mengagih-agihkan harta rampasan perang.

Katanya, terdapat pengusaha makanan mendapat tender begitu banyak di sekolah-sekolah asrama penuh untuk membekalkan makanan, hanya kerana mempunyai 'kabel' dalam politik.

Menurutnya, kalau sebuah sekolah boleh menjana untung RM20,000 sebulan maka bayangkan sebuah syarikat itu memonopoli lebih lima sekolah sekali gus.

"Ada sekolah asrama yang sudah berlaku banyak kali keracunan makanan, tetapi kontrak pembekal makanan tidak ditamatkan dan tiada tindakan kerana kabel politik," jelasnya.

Akhirnya, syarikat lain tertutup periuk nasi dan hanya syarikat kroni sahaja mendapat tender disebabkan amalan rasuah, bukan kerana tender diberi berdasarkan merit atau kelayakan.

Adakah UMNO tidak belajar daripada sejarah yang tidak berapa dulu berlaku?

Antara penyebab utama mengapa sasaran 30 peratus penguasaan Bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal dicapai ialah amalan rasuah dan kroni yang meresap dan diamalkan oleh pemimpin di peringkat Cawangan mahupun Bahagian. 

Kalau UMNO kembali semula kepada budaya negatif itu, ia akan sekali lagi dihukum oleh pengundi kerana mengkhianati kepercayaan rakyat. Hakikatnya ialah, bukan dasar itu tidak bagus tetapi pelaksanaannya yang dikhianati.

Ohh.. berbalik kepada cerita rakan saya yang merupakan ahli UMNO seumur hidup itu.

Katanya, walaupun Pulau Pinang di bawah kerajaan negeri DAP yang bersifat cauvinis namun projek-projek Kerajaan Pusat tetap direbut oleh orang-orang UMNO menggunakan kabel politik. 

Persepsi di Kedah pula, tadbir urusnya kelihatan telus di permukaan tetapi di peringkat dalaman masih banyak kerja perlu dilakukan untuk membanteras rasuah dan kronisme. 

Tidak mustahil rakyat Kedah akan mengubah tampuk pemerintahan kerajaan negeri pada PRU-14 akan datang dengan memberi kemenangan kepada PAS semula, jika barah itu semakin membengkak.

Namun, amat membanggakan, Perak di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mempunyai reputasi yang baik kerana secara umumnya persepsi negatif itu tidak ketara di kalangan usahawan atau kontraktor.

Mungkin ada yang mengatakan penilaian seperti ini tidak perlu diambil endah oleh sesiapa kerana tiada fakta dan hanya berdasarkan cakap-cakap dan persepsi umum. 

Namun, harus diingat, persepsi yang timbul sebelum ini hingga BN mencatatkan prestasi terburuk dalam pilihan raya pada 2008 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga adalah sebahagian besarnya berdasarkan persepsi rakyat yang tidak dinilai dengan fakta, data atau angka.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.