Disangka rusa, maut tertembak rakan

Saturday, 10 May 2014

Libius Bin Kibin, 35 dari Kampung Nambayan Tambunan maut akibat pendarahan ekoran tembakan pada bahagian kedua belah pahanya..

TAMBUNAN: Seorang lelaki tempatan yang disangka rusa, maut akibat tertembak oleh rakannya dengan menggunakan senapang buatan sendiri ‘bakakuk’ ketika keluar memburu dekat sini baru-baru ini.

Mangsa, Libius Bin Kibin, 35 dari Kampung Nambayan Tambunan maut akibat pendarahan ekoran tembakan pada bahagian kedua belah pahanya dengan menggunakan peluru hidup dari jarak kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintenden Robert Salisip David berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengahari pada 5 Mei lalu di kawasan hutan padang ragut Kampung Nambayan Tambunan.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakan lain berumur antara 28 dan 58 tahun telah keluar memburu dengan membawa dua laras bakakuk.

“Kumpulan berkenaan telah berpecah dua dan saspek, iaitu lelaki warga tempatan berumur 28 tahun telah melihat pergerakan dedaunan di hadapannya yang disangkanya seekor rusa lalu melepaskan tembakan.

“Ekoran kejadian, mangsa mengalami kecederaan namun masih sedarkan diri. Saspek dan dua orang rakannya membawa mangsa ke Hospital Tambunan bagi mendapatkan rawatan,” jelas beliau.

Robert berkata, jarak antara tempat kejadian dan kawasan mereka meletakkan kereta mengambil masa perjalanan selama dua jam manakala jarak ke Hospital Tambunan sejam..

Katanya, mangsa yang mengalami pendarahan teruk dipercayai telah meninggal dalam perjalanan ke kereta mereka.

Dua laras senapang

Menurutnya lagi siasatan awal mendapati saspek telah menjumpai dua laras senapang berkenaan di dalam belukar setelah melihat pemandu sebuah pacuan empat roda membuang bungkusan di tepi jalan pada bulan Mei 2013.

“Saspek dalam perjalanan untuk mengisi minyak terlihat seorang individu membuang bungkusan tersebut di tepi jalan kerana mahu mengelak daripada ditangkap polis pada sekatan jalan yang dijalankan berhampiran kawasan itu pada hari berkenaan.

Setelah semuanya berlalu, saspek kembali ke kawasan tersebut dan mendapati dua laras bakakuk dalam bungkusan tersebut lalu menyimpannya,” jelas beliau.

Robert berkata, pada bulan Disember 2013, saspek telah memperolehi sekotak peluru (25 butir) jenis 12 Bore dengan harga RM120 daripada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Paul Joseph yang bekerja di Telupid.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk dibedah siasat, manakala saspek dan dua rakannya direman, barang kes iaitu dua laras bakakuk dan tiga butir peluru dan pakaian saspek turut dirampas.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.