3 lelaki disyaki penculik ditangkap di perairan Sandakan

Sunday 11 May 2014

Polis masih menyiasat tujuan kumpulan lelaki terbabit memasuki negara ini termasuk kemungkinan melakukan jenayah.

KUALA LUMPUR 10 Mei - Tiga penjenayah dipercayai daripada kumpulan penculik yang sedang dalam perjalanan memasuki perairan Sandakan berjaya ditangkap selepas berlaku perlanggaran dengan bot ronda polis platun tiger Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam kejadian pada kira-kira 8.15 malam sebentar tadi, polis yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan bot yang dinaiki penjenayah terbabit sebelum meminta mereka memberhentikan bot itu.

Bagaimanapun, mereka telah bertindak melanggar bot polis sehingga menyebabkan kedua-dua bot itu terbalik. Ketiga-tiga lelaki itu bagaimanapun berjaya ditahan walaupun berlaku pergelutan antara polis dan penjenayah. - UTUSAN ONLINE

[Laporan Berita Harian]
3 lelaki Filipina ditahan cuba ceroboh perairan Sandakan

Sandakan: Tiga lelaki dipercayai warga Filipina ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba menceroboh perairan ini melalui Pulau Berhala, malam tadi 

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, anggota Platun Harimau PGA terbabit terpaksa mengejar bot laju dinaiki tiga lelaki terbabit beberapa kilometer selepas mereka cuba melarikan diri sebaik terserempak dengan pasukan keselamatan. 

Difahamkan, berlaku pelanggaran antara kedua-dua bot menyebabkan salah seorang suspek mengalami kecederaan sebelum kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut. 

Pemeriksaan dalam bot itu tidak menemui sebarang senjata, namun polis masih menyiasat tujuan kumpulan lelaki terbabit memasuki negara ini termasuk kemungkinan melakukan jenayah. 

Ketika ini, pasukan keselamatan memperketatkan perairan pantai timur Sabah, susulan insiden penculikan terbaharu membabitkan seorang warga China di Lahad Datu, awal minggu ini. 

Ketiga-tiga suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan lanjut. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.