Wanita hampir menjadi mangsa culik di Kota Kinabalu

Thursday 10 April 2014


KOTA KINABALU: Seorang kerani wanita berusia 22 tahun menempuh detik cemas apabila diculik dua lelaki yang melarikan kenderaannya di Plaza Juta Likas, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan, dekat sini, bagaimanapun terselamat apabila berjaya melarikan diri dengan melompat keluar daripada kenderaan di satu lokasi, berhampiran Alam Mesra, di sini.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa meletakkan kereta jenis Perodua Myvi miliknya di parkir Plaza Juta, Likas untuk pergi ke pejabatnya di kawasan berkenan.

Bagaimanapun ketika keluar daripada kenderaannya, dia telah dihampiri dua lelaki tidak dikenali yang bertindak menolak masuknya ke tempat duduk belakang, sebelum melarikan kereta bersama mangsa.

Suspek kemudian memandu kereta terbabit ke arah Alam Mesra sebelum berlaku pergelutan di antara mangsa dan suspek, namun akhirnya mangsa bertindak berani dengan melompat keluar daripada kenderaan itu.

Mangsa yang tercedera akibat tercampak di atas jalan raya kemudian meminta pertolongan orang awam lalu membuat laporan polis.

Difahamkan juga, mangsa mengalami kerugian lebih RM60,000 akibat kejadian itu selepas kereta, beg tangan dan beberapa dokumen penting dilarikan suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan masih dijalankan.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah bertindak menolak mangsa sebelum melarikan kenderaan itu bersama mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan kejadian itu ada kaitan dengan insiden curi kenderaan membabitkan seorang mangsa kanak-kanak di Likas, Isnin lalu.

“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan dihospital susulan kecederaan yang dialaminya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sekirannya berada di kawasan gelap dan sunyi.

“Kalau boleh, cuba elakkan daripada meletakkan kenderaan di kawasan gelap dan sunyi, lebih-lebih lagi ketika berseorangan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Borneo Insider

Ingatkan hanya di Pulau terpencil, rupanya di bandaraya Kota Kinabalu juga ada kes cubaan menculik.. Dua hari lepas, seorang budak lelaki berumur 8 tahun dilarikan bersama-sama kereta yang dicuri ketika ibu mangsa keluar membeli roti canai (Disini). Kini seorang wanita pula hampir menjadi mangsa culik yang juga berlaku di sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

Apa pula kata Wan Junaidi selepas ini.. jika insiden culik di Semporna dia boleh kata tutup semua resort di pulau terpencil kerana pihaknya tidak mampu menjaga keselamatan mereka.. Adakah kali ini beliau akan kata, semua wanita di Sabah jangan keluar rumah atau turun bekerja? Sedangkan ibu negeri Sabah pun cukup rancak jenayahnya, inikan pula di daerah atau pulau "terpencil".

Walaupun kadangkala ianya berlaku disebabkan kecuaian, namun kerajaan dan pihak berkuasa juga perlu dipersalahkan kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka menjaga keselamatan orang awam/rakyat.. Bayangkan sajalah sekumpulan penculik boleh menembusi "kubu" kuat pasukan keselamatan iaitu ESSCOM.. Terang lagi bersuluh betapa lemahnya kawalan keselamatan di negeri ini..

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.