Dilema Pairin terhadap Empangan Kaidun

Thursday 24 April 2014

Protes daripada masyarakat mampu dielakkan jika kerajaan memikirkan hak asasi manusia ketika merancang pembinaan Empangan Kaidun, atau mana-mana projek sekalipun.


Kontroversi dan perdebatan hangat tentang cadangan membina Empangan Kaidun yang dianggar bernilai RM2.8 bil masih kedengaran.

Kontroversi ini bermula sejak Februari 2008, setelah kerajaan negeri memberi lampu hijau bagi kajian kesesuaian dijalankan dan cadangan teknikal dibuat bagi empangan di daerah Papar itu.

Projek berkenaan turut mencadangkan pembinaan loji rawatan air di daerah Penampang Sabah. Kerajaan Sabah bertegas bahawa ianya mustahak. Ini bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi kegunaan ibu negeri dan kawasan sekitarnya sehingga 2050. Setelah siap kelak, ia dijangka menyumbang tambahan 1,200 juta liter sehari bagi Bandaraya Kota Kinabalu.

Sekiranya dijalankan, kawasan berkeluasan 12 kilometer persegi sepanjang Sg Papar, beserta 11 perkampungan dan sebahagian Banjaran Crocker akan tenggelam. Komuniti tempatan risau dan jelas membantah pembinaannya.

Antara perkampungan terlibat ialah Buayan, Terian, Babagon Laut, Timpayasa, Tiku, Longkogungan, Pongonobon, Kionop, Kg Bisuang, Kg Kaiduan dan Kg Maang. Satu kumpulan yang menggelar diri mereka Gabungan menentang Empangan Kaidun (CAKD) telah memulakan kempen mengambil tandatangan yang dikenali 'Projek Bantah' bagi menyuarakan penentangan pihak berkepentingan di kawasan terbabit.

Satu lagi ‘Badan Bertindak menentang Empangan Kaidun’ telah juga ditubuhkan bagi menganjurkan majlis bagi pihak yang terlibat.

Kumpulan lain yang tampil memberi bantuan kepada penduduk kampung termasuk Pertubuhan Rakan Komuniti (Pacos), Sabah Bersatu bagi Berkuasa Semula di Masa Depan (Green SURF) dan Jaringan Orang Asal Sabah (JOAS).

Perkara utama yang disuarakan ialah hakikat projek itu dihasilkan tanpa berunding dengan wakil, pihak berkuasa dan pemimpin komuniti yang terlibat.

Ini simptom biasa dalam masyarakat yang kerap muncul di negara ini. Apa sahaja pelan kerajaan yang membabitkan masyarakat tidak dibuat dengan mengambilkira pandangan komuniti terbabit.

Protes daripada masyarakat mampu dielakkan jika kerajaan memikirkan hak asasi manusia ketika merancang pembinaan Empangan Kaidun, atau mana-mana projek sekalipun.

Jelas, terdapat kekurangan dari segi maklumat yang tepat, lengkap, adil dan mampu diakses semua pihak. Kurangnya penglibatan dalam merangka pelan dan mengelakkan kesan buruk empangan juga suatu perkara yang nyata.

Komuniti tempatan di Papar dan Penampang hanya mengharapkan kerajaan mengambil kira perkara ini, termasuk aspek kebudayaan, ekonomi, sosial dan persekitaran. Bukannya banyak sangat pun.

Ia mahu proses konsultasi ditambahbaik, penglibatan penuh oleh penduduk, serta langkah memastikan penduduk tidak dihalau keluar. Langkah ini bagi mengelakkan penduduk teraniaya.

Kerajaan gagal memenuhi keperluan ini sekaligus tidak berjaya mendapatkan kebenaran bagi melaksanakan projek di wilayah persendirian hak peribumi Sabah.

Dalam kes ini, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan perlu bertanggungjawab. Beliau timbalan ketua menteri yang memegang portfolio pembangunan infrastruktur. Beliau bercakap bagi pihak kerajaan negeri.

Pairin berulangkali mengatakan Empangan Kaidun diperlukan bagi memenuhi permintaan air besih bagi penduduk serta industri dan perniagaan. Bukan hanya di Kota Kinabalu tetapi juga di as Penampang, Papar, Putatan dan Tuaran sehingga 2050.

Kebimbangan komuniti tempatan ada asasnya

Kajian kesesuaian yang dijalankan tidak mengambilkira kesan kewangan dan sosio-ekonomi akibat perpindahan. Pampasan yang setimpal dan saksama bagi kehilangan tanah adat, keharmonian penduduk, ladang buah, tapak sawah, sungai, hutan dan gaya hidup tradisi juga perlu difikirkan.

Ini bagi membolehkan komuniti mengekalkan gaya hidup yang menyeluruh serta diselitkan nilai bagi pembangunan masa depan berasaskan konsep pembangunan asli seperti budaya dan kelestarian alam semulajadi, di samping keperluan ekonomi, kesihatan dan pentadbiran sendiri.

Lebih mustahak, kerajaan perlu mengambil berat kepentingan Orang Asal terbabit bagi menentukan bagaimana tanah dan sumber semula jadi mereka wajar digunakan. Mereka tidak harus dipaksa keluar dari kampung atau wailayah mereka.

Olivier De Schutter selaku Pelapor Khas Hak bagi Makanan, United Nations yang melawat Kg Terian pada 14 Disember 2013 tentu tahu kesan Empangan Kaidun terhadap perkampungan di daerah itu.

Beliau bertemu penduduk di sembilan perkampungan yang bakal terkesan oleh projek di wilayah Ulu Papar itu. Schutter menjelaskan bahawa beliau melawat bagi mengetahui isu berkenaan. Beliau telahpun bercakap dengan pelbagai agensi kerajaan negeri sebelum memulakan lawatan.

“Amat penting saya melakukan kunjungan ini bagi mendapatkan pandangan komuniti ini sendiri,” jelasnya.

Adakah Pairin serta rakan kabinetnya melakukan kunjungan serupa? Tidak! Pihak UN pula yang menunjukkan cara sewajarnya kepada mereka.

Di dalam kenyataan berkenaan kunjungan beliau ke Malaysia, Schutter menekankan perlunya prinsip bebas, serta kebenaran dengan pengetahuan, sebelum tanah Orang Asal diubah. Ini termakub di dalam Deklarasi hak asasi Orang Asal UN.

Ia menyatakan “Negeri hanya berunding dan bekerjasama dengan orang asal melalui institusi wakil mereka bagi mendapatkan kebenaran sebelum menjalankan mana-mana projek di tanah atau wilayah atau sumber alam, terutama yang membabitkan pembangunan, kegunaan atau eksploitasi mineral, air atau sebagainya.”

Schutter juga berkata rundingan sahaja tidak cukup bagi memberitahu kesan pembangunan terhadap mereka, Orang Asal juga berhak menentang pembangunan yang dicadangkan.

Adakah kerajaan negeri akan mengambil kira bantahan yang dibuat penduduk di Ulu Papar dan di Penampang, Sabah. Mungkin tidak.

Pairin, juga diberi gelaran ‘Huguan Siou’ iaitu ketua tertinggi Kadazan. Beliau berharap rakyat akan faham dan tidak panik tentang isu itu kerana kerajaan cuba memastikan kajian kesesuaian bakal menguntungkan semua pihak.

“Tiada siapa gemar ditempelak, tetapi seperti seorang doktor yang bertanggungjawab, kita akan teruskan dan pastikan yang terbaik untuk semua,” katanya.

Jadi, saya kira kerajaan negeri akan tetap meneruskan pembinaan Empangan Kaidun ini walaupun mendatangkan kemarahan rakyat jelata.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.