Apa akan berlaku jika MH370 tidak ditemui?

Thursday, 24 April 2014

Kehilangan pesawat MH370 mungkin akan setara dengan misteri kehilangan Amelia Earhart. Juruterbang wanita yang hilang ketika cubaan pertama mengelilingi dunia..


Meskipun Malaysia dan Australia memberi jaminan pencarian akan diteruskan terhadap pesawat Malaysia Airlines MH370, kurangnya petunjuk membuatkan ramai tertanya-tanya: Bagaimana jika pesawat Boeing 777-200ER itu tidak ditemui?

Semasa permulaan misi carian antarabangsa itu, persoalan sedemikian tidak terlintas oleh penyiasat dan orang ramai, namun semakin lama, ia bakal menjadi kenyataan yang pahit.

CNN melihat apa akan berlaku sekiranya pesawat dengan 239 penumpang dan anak kapal itu hilang tanpa dapat dikesan.

1. Ia akan lenyap dan menjadi misteri dunia.

Kehilangan pesawat mungkin akan setara dengan misteri kehilangan Amelia Earhart. Juruterbang wanita yang hilang ketika cubaan pertama mengelilingi dunia menaiki pesawat Equator pada Jun 1937 menimbulkan pertanyaan.

Misi carian gagal mengesan sebarang jejak, pemandu arah Frederick Noonan mahupun pesawatnya. Sesetengahnya percaya mereka kehabisan minyak dan terhempas di laut – teori sama yang berlaku kepada pesawat Malaysia Airlines, kata CNN.

Kemudian, adanya Segitiga Bermuda.

Banyak kapal laut, pesawat dan orang hilang di kawasan pertemuan Lautan Atlantik, "segitiga" dari Bermuda, Miami dan San Juan, Puerto Rico.

Pegawai AS melaporkan puting beliung, ribut petir secara tiba-tiba, arus Teluk dan perairan Caribbean yang cetek bukti munasabah kehilangan kapal. Namun sehingga kini tiada penjelasan kehilangan pesawat MH370, kata CNN.

Misteri tidak semuanya kekal misteri.

Dua tahun pasukan pencari menemui kotak hitam pesawat Air France 447, yang terhempas di Lautan Atlantik pada 1 Jun 2009 ketika dalam perjalanan ke Paris dari Rio dengan 228 penumpang. Meskipun lokasinya diketahui, sukar untuk mencari pesawat itu.

Tiada GPS mahupun carta lautan ketika 1912 ketika RMS Titanic karam di Utara Atlantik. Hanya pada 1985 kapal pelayaran mewah British itu ditemui. Tempoh 73 tahun itu suatu tempoh yang lama, namun sesetengah jawapan memerlukan masa, kata CNN.

2. Keluarga tidak didedahkan berkenaan tragedi

Wajah-wajah muram keluarga menaiki pesawat MH370 menjawab segalanya.

"Semakin lama peluang anak saya dan penumpang lain untuk ditemui semakin kecil," kata waris penumpang warganegara China.

"Untuk mengetahui orang itu hidup kita perlu melihat mereka. Untuk tahu orang itu mati kita nampak mayatnya. Itu sahaja," kata Wen.

Emosi keluarga berkecamuk. Percanggahan maklumat dan kelewatan pegawai Malaysia menimbulkan kemarahan.

Semakin sebak apabila tiada mayat untuk dikebumikan. Bagaimana mahu melepaskan tanpa mengucapkan selamat tinggal?

Harapan masih membara di jiwa Prahlad Shirsath, suami kepada isterinya yang menaiki pesawat itu.

"Jauh di lubuk hati saya merasakan dia akan kembali," katanya kepada CNN.

"Dia akan pulang kerana tiada sebab untuk putus harapan," katanya.

3. Penemuan palsu yang memusnahkan harapan

Setiap beberapa bulan atau tahun, akan timbul teori kehilangan pesawat – atau menemui apa yang mereka percaya sebagai cebisan pesawat.

Ibu bapa Madeleine McCann mengetahui perkara ini, kata CNN.

Ketika berusia 3 tahun dia hilang pada 2007 ketika percutian keluarga di resort Portugis di bandar Praia da Luz. Kehilangannya menjadi perhatian luas media seluruh dunia dan kekal misteri selama 7 tahun.

Sejak itu juga timbul kisah kelibat McCann selepas diculik. Mereka menerima pelbagai janji. Namun Madeline masih tidak ditemui.

4. Pembayaran insurans besar-besaran

Masih belum diketahui jumlah pembayaran insurans yang akan dibayar Malaysia Airlines kepada waris penumpang, namun sudah pasti ia jumlah yang besar, kata CNN.

Sebahagian peguam yang berpengalaman menguruskan perkara seperti ini berkata jumlah setiap penumpang berkemungkinan US$400,000 (sekitar RM1.3 juta) hingga US$10 juta (RM33 juta).

Jumlah insurans yang diambil syarikat adalah antara US$2.5 bilion dan US$2.5 bilion setiap pesawat, kata CNN memetik Firma Dan Rose of Kreindler & Kreindler.

Jumlahnya sekitar US$10 juta setiap penumpang. Dengan 239 penumpang, ia lebih besar.

Di bawah amalan antarabangsa dikenali sebagai Konvensyen Montreal, syarikat penerbangan perlu membayar keluarga penumpang sejumlah pampasan US$150,000 hingga US$175,000, namun itu hanya permulaan.

Keluarga mangsa boleh membuat tuntutan.

Pembuat pesawat Boeing, juga bakal menjadi sasaran.

Namun, sehingga pesawat itu ditemui, keluarga tidak mempunyai banyak kes. Melainkan kematian tanpa mayat.

5. Akan berlaku perubahan polisi

Setiap nahas menyebabkan berlakunya perubahan polisi. Namun bila tidak diketahui puncanya, ia semakin sukar.

Penguatkuasa AS meluluskan 90 hari 'ping' isyarat disertakan dengan perakam data, jadi pasukan pencari mempunyai peluang lebih besar untuk menemui pesawat.

Beacon pengesan seharusnya memindahkan data 90 hari untuk memudahkan misi mencari pesawat di dalam air.

Pesawat MH370 mempunyai ketahanan bateri selama 30 hari. Isyaratnya semakin lemah ketika alat pengesan dilepaskan untuk mengesan kotak hitam.

Tambahan 60 hari mungkin akan membantu.

Menjelang 2015, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menetapkan kesemua pesawat baru mempunyai keupayaan 90 hari. Menjelang 2020, setiap pesawat akan memilikinya, kata FAA.

Malaysia sudah menghantar laporan awal pesawat MH370 kepada Badan Penerbangan Awam Antarabangsa, sebuah badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk penerbangan. Namun belum didedahkan kepada umum.

Namun, terdapat begitu banyak persoalan.

Adakah terdapat cara yang lebih baik untuk mengesan pesawat? Mampukah pesawat diikuti dengan satelit untuk mengesan pergerakan yang tidak boleh dimatikan?

Setiap telefon mempunyai GPS, mampukah kita menemui pesawat bernilai jutaan ringgit?

Agensi penerbangan PBB berkata kepada CNN, Malaysia berkata dunia industri penerbangan perlu melihat pengesan secara langsung pesawat.

Ia cadangan sama dikeluarkan selepas kejadian nahas Air France. Namun "tiada yang berubah".

Buat masa ini, harapan semakin menipis bagi menjumpai pesawat dan merungkai misterinya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.