Perlukah Sesebuah Parti Mengupah Cybertroopers? - Prof Agus

Tuesday, 22 April 2014

Cara untuk menambat hati rakyat adalah dengan kita menyampaikan kebenaran, bukannya dengan mempunyai cybertrooper berbayar untuk mempertahankan kita. 


Selepas pilihan raya 2013, muncul dakwaan DAP mempunyai pasukan cybertrooper dikenali sebagai Red Bean Army yang tugasnya adalah untuk menabur fitnah kepada parti UMNO dan kerajaan. Bagi menyaingi Red Bean Army ini, maka Ketua Penerangan UMNO mencadangkan untuk menubuhkan Blue Wave Army.

Perlukah? Saya sama sekali tidak nampak keperluannya. Pertama, saya tidak percaya kepada dakwaan adanya Red Bean Army. Kedua, saya tidak nampak cybertrooper berbayar ini dapat meningkatkan imej parti dan membalas serangan dari pihak lawan dengan cara berhemah. Ketiga, saya tidak melihat pasukan cybertrooper yang tugasnya hanya untuk menentang hujah pihak lawan dengan emosi dapat memberikan imej yang baik kepada parti, sebalikya yang muncul ialah semakin banyak persengketaan dan kebencian.

Menjaga imej parti dalam media sosial memerlukan ahli yang ada ilmu dan jiwa untuk menulis tentang parti, bukannya cybertrooper yang dibayar. Jika menulis tanpa ilmu dan dipenuhi dengan emosi semata-mata, maka tubuhlah apapun, ia tidak akan menjadi, malah merosakkan.

Tengoklah sekarang ini, belum pun dibayar, posting politik sudah panas dengan pebagai cemuhan. Komen-komen yang dibuat banyak yang terkeluar tajuk. Lain yang ditulis, lain pula yang dikomen. Terjadinya begini adalah kerana wujudnya sikap untuk mempertahankan perkara yang tidak boleh dan tidak perlu dipertahankan. Ini terjadi kepada semua mereka yang taksub kepada parti-parti masing-masing. 

Ingatlah, media sosial adalah medium untuk kita bertukar pendapat dan mendapat maklumat terkini. Bertukarlah pendapat dengan semangat untuk mencari yang terbaik untuk negara, bukannya untuk mempertahankan parti sehingga sanggup mencaci maki sesama kita. Itu low class politics.

Analisis akhirnya, cara untuk menambat hati rakyat adalah dengan kita menyampaikan kebenaran, bukannya dengan mempunyai cybertrooper berbayar untuk mempertahankan kita. Yakinilah, jika kita di pihak benar, akan ada sahaja rakyat yang muncul untuk membela dan mempertahankan kita. Datangnya adalah secara semula jadi, tidak perlu diundang.

Berubahlah!

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.