Bertindak terhadap pelampau, bukan hanya beri amaran

Wednesday 23 April 2014

Kurup harus meyakinkan kerajaan supaya memutuskan hubungan dengan golongan pelampau kaum dan agama, dan bukan sekadar memberitahu orang ramai mengenai ancaman yang ditimbulkan.


Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup bahawa "ketaksuban kaum dan agama yang dimainkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu, mengancam perpaduan dan integrasi nasional" adalah tepat.

Namun ironinya adalah salah satu kumpulan ini adalah kumpulan sayap kanan Melayu Perkasa, yang dibiayai kerajaan.

Kerajaan baru-baru mengakui ia memberi "beberapa peruntukan" kepada Perkasa, tiga bulan selepas kumpulan itu berkata mereka telah menerima bantuan daripada agensi-agensi kerajaan bagi menjalankan beberapa programnya.

Dalam jawapan bertulis kepada Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) di Parlimen, seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bagaimanapun berkata tiada sebarang peruntukan khusus yang dikhaskan untuk Perkasa.

Shahidan berkata peruntukan itu diberikan untuk membantu kumpulan itu menganjurkan satu seminar perpaduan yang dihadiri oleh kira-kira 5,000 peserta, tetapi tidak ada jumlah yang dinyatakan dalam jawapan bertulis itu, dan juga apa-apa maklumat tentang waktu penganjuran seminar itu.

Dalam pilihan raya umum lepas, bekas naib presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin telah dipilih untuk bertanding di Shah Alam sebagai "Rakan Barisan Nasional" manakala presidennya Datuk Ibrahim Ali mendapat sokongan tersirat BN untuk bertanding di Kelantan.

BN tetap memberikan sokongan kepada puak pelampau walaupun selepas Ibrahim menyeru umat Islam untuk membakar Bible Bahasa Melayu yang mengandungi perkataan "Allah" dan lain-lain penulisan agama dalam Bahasa Arab.

Zulkifli pula menggelar kaum India Malaysia sebagai "keling" dan telah dipaksa memohon maaf pada 1 April, selepas sebuah video yang memaparkan beliau menceritakan bagaimana beliau mempersoalkan seorang pekedai India mengapa dewa Hindu tidak menghalang kedainya dari dilanda banjir, menjadi ‘viral’ di Internet.

Kurup harus meyakinkan kerajaan supaya memutuskan hubungan dengan golongan pelampau kaum dan agama sebegini, dan bukan sekadar memberitahu orang ramai mengenai ancaman yang ditimbulkan.

Pada bulan Disember 2013, setiausaha agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata bahawa agensi-agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) telah membantu sebilangan program Perkasa.

Beliau bagaimanapun menyatakan bantuan itu adalah kecil, dan berkata ianya "tidak lebih daripada apa yang telah diberikan kepada NGO lain, termasuk NGO kaum Cina dan India".

Kerana bantuan ini disediakan kerajaan, dan bukan hanya Umno, tidakkah ia bermakna bahawa MCA, Gerakan dan MIC juga mempunyai hak untuk bersuara mengenainya?

Pada 19 April, Kurup yang juga menteri yang mengendalikan Jabatan Perpaduan Negara, dipetik sebagai berkata bahawa fikiran sempit kumpulan tertentu telah mewujudkan "ketidakpercayaan bersama", dan ini telah menjadi salah satu cabaran terbesar dalam masyarakat.

"Ketidakpercayaan ini dicipta oleh sikap tidak bertoleransi, terutamanya melalui ketaksuban agama dan kaum. Ia terbukti menjadi satu fenomena yang merosakkan keharmonian sosial, kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Kurup berkata bahawa tanggapan mengenai perpaduan dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah sering disampaikan melalui pandangan pelampau dan pendapat radikal tanpa mengambil kira pandangan majoriti, sambil menambah bahawa media mempunyai peranan untuk menyekat pandangan pelampau.

"Kita tidak akan dapat menghapuskan ketaksuban kaum dan agama, yang mana ianya merupakan sebahagian dari sifat manusia, tetapi kita – kerajaan dan media – perlu bekerjasama untuk menyekatnya.

"Kita tidak boleh membenarkan orang lain merampas perpaduan, keamanan dan masa depan kita," katanya.

Namun jika kerajaan berhenti membiayai, dan mula mengambil tindakan terhadap kumpulan sebegini, maka media tidak perlu mendedahkan "fikiran sempit" dan pandangan pelampau mereka.

Bukankah ini cara yang baik bagi kerajaan dan media untuk bekerja bersama-sama ke arah konsep 1Malaysia yang sebenarnya?

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.