Koperal tertembak rakan setugas

Thursday 24 April 2014

Kejadian berlaku di Pondok Polis kawasan QEH2, tapi mangsa dikejarkan ke QEH1 menggunakan ambulans sebelum dipindahkan ke QEH2 untuk rawatan lanjut..

KOTA KINABALU: Persiapan dua anggota polis untuk memulakan tugas di Pondok Polis Kawasan (PPK) Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka terkena tembakan ketika sedang mengosongkan senjata di Balai Polis Luyang, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan sebelum kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa Konstabel Richie Belo Ak Asing, 25, bersama rakan setugasnya yang juga berpangkat Koperal sedang mengosongkan pistol untuk bersiap sedia menjalankan tugas.

Bagaimanapun, ketika rakan mangsa yang juga berpangkat Koperal berusia 34 tahun sedang mengosongkan peluru, tiba-tiba dia terlepas tembakan yang mengenai bahagian dada mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke QEH 1 menggunakan ambulans sebelum dipindakan ke QEH 2 untuk rawatan lanjut.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di QEH 2.

“Pemeriksaan juga mendapati peluru itu tidak mengenai organ sensetif yang boleh membahayakan mangsa dan pembedahan akan dijalankan bagi mengeluarkan peluru yang berada di badan mangsa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku dan punca sebenar kejadian.

“Rakan setugas mangsa juga telah ditahan untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 kerana cubaan membunuh.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.