Anggota Abu Sayyaf terlibat insiden penculikan pada 2000 ditahan

Thursday, 24 April 2014

Kumpulan Abu Sayyaf juga dipercayai menjadi dalang dalam penculikan pelancong asing di Malaysia baru-baru ini.


ZAMBOANGA: Pasukan keselamatan Filipina pada Rabu menahan seorang anggota kumpulan Abu Sayyaf yang dipercayai terlibat dalam insiden penculikan 21 mangsa dari sebuah resort di Malaysia pada 2000, kata seorang Komander Kanan.

Insiden penculikan rentas sempadan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dengan kumpulan militan dari selatan Filipina menyelinap masuk ke Malaysia, menjadikan pusat peranginan yang menjadi pilihan pelancong asing sebagai sasaran.

Nabil Talahi Idjiran, salah seorang anggota kumpulan Abu Sayyaf yang terlibat dalam penculikan di Pulau Sipadan, ditahan di selatan bandar pelabuhan Zamboanga, Filipina.

Perkara itu disahkan Ketua Pasukan Tugas Khas Anti-Keganasan, Kolonel Andrelino Colina.

"Suspek adalah salah seorang anggota kumpulan yang menculik seramai 21 tebusan," kata Colina.

Idjiran turut ditugaskan mengawal tebusan yang dibawa merentasi sempadan perairan Malaysia ke Kepulauan Jolo.

Penculikan 21 tebusan kebanyakannya pelancong Barat merupakan insiden terbesar membabitkan kumpulan Abu Sayyaf.

Kesemua tebusan dikurung di dalam hutan di Jolo, kira-kira 955 kilometer selatan Manila, selama beberapa bulan sehingga wang tebusan dianggarkan jutaan dolar diperolehi.

Colina berkata Idjiran turut dipercayai terlibat dengan rancangan penculikan di sebuah resort mewah di selatan Filipina pada Mei 2001 yang berjaya dipatahkan kakitangan keselamatannya.

Kumpulan Abu Sayyaf juga dipercayai menjadi dalang dalam penculikan pelancong asing di Malaysia baru-baru ini.

Pada 2013, seorang pelancong Taiwan terbunuh manakala isterinya diculik sebelum dibebaskan.

Seorang pelancong warga China dan seorang pekerja resort warga Filipina dilarikan oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan tersebut di sebuah resort, awal bulan ini.

Colina berkata, tidak mustahil dua tebusan terbaharu itu mungkin disembunyikan di dalam hutan di Jolo.

Namun beliau berkata, Idjiran mungkin tidak terlibat dengan penculikan terbaharu itu kerana pasukan perisikan tentera memantau setiap gerak-gerinya di bandar Zamboanga sejak tahun lalu.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.