'Perampas' sangka kokpit itu tandas

Saturday, 26 April 2014

Kerana menyangka kokpit itu tandas, lapangan terbang Bali terpaksa ditutup menyebabkan lapan penerbangan masuk dilencongkan dan lima penerbangan tidak dibenarkan berlepas..


Rakyat Australia yang mencetuskan kebimbangan berlaku rampasan pesawat milik syarikat Virgin semalam, dilaporkan memberitahu polis Indonesia bahawa dia tidak mabuk.

Sebaliknya, katanya, dia hanya mencari tandas apabila dia mengetuk pintu kokpit.

"Dia sangka kokpit itu adalah tandas - dia ingat dia mengetuk pintu tandas," lapor The Age di Melbourne, yang memetik jurucakap polis Bali, Hery Wiyanto.

Menurut laporan itu, penumpang tersebut, Matthew Christopher Lockley (yang dilaporkan sebelum ini sebagai Matt Christopher) bertegas bahawa dia tidak mengambil alkohol.

Dia mendakwa dia hanya mengambil empat biji Panadol, dua Voltaren (ubat anti-radang dan penahan sakit), dan dua Coca- Cola di lapangan terbang Brisbane sebelum menaiki Penerbangan VA41 ke Bali, dan tidur hampir sepanjang penerbangan.

Anak kapal kemudiannya membawa Lockley ke belakang pesawat manakala juruterbang mengeluarkan amaran rampasan. Pegawai Virgin Australia menjelaskan kemudiannya bahawa ia bukan cubaan rampasan tetapi penumpang mabuk dan sukar dikawal.

Berikutan itu, lapangan terbang Bali telah ditutup menyebabkan lapan penerbangan masuk dilencongkan dan lima penerbangan tidak dibenarkan berlepas. Setelah pesawat itu mendarat, Lockley dibawa pergi oleh pengawal bersenjata .

Selepas disoal siasat pada malam Jumaat, dia telah dilaporkan dihantar ke hospital .

"Dia masih rasa keliru. Dia tidak sihat, sebab itu dia mengambil ubat tersebut," kata Hery.

Polis dilaporkan masih menunggu keputusan ujian darah dan air kencing sebelum memutuskan sama ada untuk mendakwanya kerana membahayakan penerbangan.

Jika sabit kesalahan, dia berdepan dengan hukuman sehingga dua tahun penjara atau didenda 500 juta rupiah (RM141,500), kata laporan itu.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.