Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan pihak kerajaan perlu memastikan MAS mengkaji semula jadual penyelenggaraan pesawat-pesawatnya.
Kini sudah tiba masanya bagi pihak berkuasa mengarahkan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap pesawatnya.
Seramai 166 penumpang dan anak kapal pesawat MH192 mengalami pengalaman ngeri apabila pesawat dari Kuala Lumpur ke Bangalore itu terpaksa membuat pendaratan cemas awal pagi tadi. Tayar Boeing 737-800 itu didapati meletup ketika berlepas.
Pesawat yang dipandu oleh Kapten Nor Adam Azmi itu telah diarahkan berpatah balik dan terbang berlegar-legar selama empat jam sebelum berjaya mendarat pada jam 1.56 pagi. Ini merupakan insiden keempat dalam tempoh 45 hari:
1) 8 Mac, MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang. Nasibnya sehingga kini menjadi misteri;
2) 22 Mac, MH114 yang terbang ke Kathmandu dilanggar sekawan burung ketika menghampiri lapangan terbang Tribhuvan. Pesawat itu pecah lensa pendaratan dan telah diganti pada keesokan harinya.
3) 24 Mac, MH066 dalam perjalanan ke Seoul telah diarah membuat pendaratan di Hong Kong apabila generator pesawat itu tidak berfungsi.
Sudah jelas bahawa empat insiden itu telah menjejaskan keyakinan penumpang serta pengguna setia MAS. Pemangku menteri pengangkutan sepatutnya tidak hanya menunjukkan mukanya di KLIA bagi menyatakan kebimbangan. Beliau wajar bertindak.
Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak boleh lagi bergantung kepada nasib dan kebolehan juruterbang bagi menyelamatkan keadaan. Apa alasan beliau jika tragedi seperti MH370 berulang kembali?
Memang kita puji sikap beliau turun ke KLIA bagi menenangkan keadaan pada awal pagi hari ini. Tetapi beliau dan pihak kerajaan juga perlu memastikan MAS mengkaji semula jadual selenggara pesawat-pesawatnya.
Adakah MAS sedang berjimat ketika hutangnya membukit? Inilah yang dibimbangi penumpang dan rakyat Malaysia sebenarnya.
Seberapa kerapkah tayar kapal terbang meletup? Seberapa kerapkah generator kapal terbang gagal berfungsi? Adakah keadaan ini dapat dielakkkan jika penyelenggaraan lebih kerap dilakukan?
Hishamuddin menulis di akaun Twitter “Mereka mendarat selamat – Syukur.”
Nor Adam Azmi dan anak kapalnya wajar dipuji kerana menenangkan penumpang di kala kecemasan. Namun, tidak wajar jika Hishamuddin dan MAS terlalu kerap bersandarkan nasib sahaja. Buatlah sesuatu tindakan agar pesawat MAS selamat ketika dalam penerbangan.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.