Penculik Gagal Tembusi Kawalan Esscom Di Semporna

Monday 28 April 2014

Gagal tembusi kawalan Esscom, kumpulan penculik melakukan jenayah di negara sendiri dan berjaya menculik dua lagi pelancong asing..


LAHAD DATU: Sekumpulan penculik dari selatan Filipina yang cuba memasuki negara ini melalui perairan Semporna dikatakan terpaksa mengubah haluan ke perairan negara jiran di utara Sabah selepas gagal menembusi kawalan ketat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Sehubungan itu mereka bertindak melakukan jenayah penculikan di negara mereka sendiri iaitu di kawasan perairan antara Pulau Cagayan dan Pulau Palawan, kata Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Mohammad Mentek.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas bahagian risikan, kumpulan penjenayah yang menggunakan kapal layar tersebut berjaya menculik dua pelancong asing di situ minggu lepas.

Katanya beliau telah mengarahkan anggota pasukan keselamatan di ESSZone yang membabitkan 10 daerah dari Kudat hingga Tawau supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita memandang serius kes cubaan masuk kumpulan penculik yang terbaharu ini melalui perairan Semporna. Kita tidak mahu kes penculikan di Singamata Resort pada 2 April lepas berulang.

"Semua pasukan keselamatan ESSCom diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sepanjang perairan pantai timur Sabah," katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Sementara itu Mohammad berkata pihak berkuasa keselamatan Filipina kini menghampiri lokasi dua wanita yang diculik di Singamata Reef Resort disembunyikan dan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan mereka.

Kedua-dua mereka berada dalam keadaan sihat.

"Pihak keselamatan Filipina sedang menghampiri kawasan di mana mangsa culik disembunyikan dan sedang berusaha menyelamatkan mereka tanpa dicederakan.

"Pegawai ESSCom juga pergi ke sana hingga ke kepulauan Jolo dan pegawai kita telah berbincang dengan bahagian risikian Filipina untuk menyelamatkan mangsa," katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas risikan, warga China itu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dibenarkan hampir setiap hari membuat panggilan telefon kepada anggota keluarganya.

Pelancong China itu dan pekerja resort tersebut warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kira-kira pukul 10.30 malam pada 2 April lepas dan meminta wang tebusan.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.