Untuk Halalkan Empangan, Pairin Tuduh Penduduk Keliru

Wednesday, 23 April 2014

“Kami penduduk Ulu Papar mahu menegaskan bahawa kami tidak pernah kena ‘misled’ (keliru) oleh sesiapa. Semua yang memberi sokongan termasuk Terrence Siambun, berjuang demi aspirasi rakyat dan bukan kerana mempolitikkan isu ini.


KOTA KINABALU: “Wahai Pairin, kamu tidak pernah berjumpa dengan penduduk Ulu Papar dan tidak pernah juga pergi ke kampung yang bakal ditenggelamkan…” kata pos dalam akaun Facebook Save Ulu Papar dalam ‘perdebatan’ terbaru di antara aktivis alam sekitar dengan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berhubung kemelut pembinaan empangan Koiduan di Papar.

Pos terbaru di media sosial itu ternyata berang dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah itu baru-baru ini yang mendakwa, penduduk di kawasan terbabit membantah kerana kononnya mereka ‘keliru’ dengan cadangan pembinaan empangan mega itu dan meminta supaya wakil rakyat Moyog, Terrence Siambun berhenti mempolitikkan isu itu.

“Serius! 11 rumah sahaja,” soal pos itu merujuk kepada dakwaan Pairin yang berkata hanya 11 rumah akan terjejas jika empangan bernilai lebih RM2.8 bilion itu dibina. Difahamkan puluhan rumah akan terjejas jika pembinaan itu diteruskan.

Cadangan membina empangan di kawasan seluas 350 km di Ulu Papar bermula pada tahun 2008 dan meliputi Kampung Terian, Buayan, Babagon Laut, Timpayasa, Tiku, Pongobonon, Kalanggaan dan Kionob dalam daerah Penampang.

Empangan kontroversi ini adalah yang kedua dibina di Penampang dan dikatakan tiga kali lebih besar daripada Empangan Babagon berdekatan yang dibina pada tahun 1980an.

Empangan Koiduan dikatakan mampu membekalkan air di daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar sehingga tahun 2050 namun, ia berdepan dengan kebimbangan ia menjejaskan ekosistem sungai Papar dan sistem ‘tagal’ (sistem pengurusan perikanan berdasarkan komuniti) yang dilaksanakan di sepanjang sungai itu.

Tagal adalah sistem yang memberi kehidupan secara berterusan kepada ikan-ikan dalam sungai yang hanya dituai pada satu waktu yang ditetapkan. Tiada sesiapa dibenarkan menangkap ikan dalam sungai yang ditagal tanpa persetujuan bersama. Ikan sungai adalah antara sumber makanan penting bagi penduduk kampung.

Tidak pernah keliru

Menolak dakwaan Pairin, Save Ulu Papar berkata lagi: “Kami penduduk Ulu Papar mahu menegaskan bahawa kami tidak pernah kena ‘misled’ (keliru) oleh sesiapa. Semua yang memberi sokongan termasuk Terrence Siambun, berjuang demi aspirasi rakyat dan bukan kerana mempolitikkan isu ini.

“Bukankah ini tanggungjawab wakil rakyat untuk mendengar suara kami dan bertindak?”

Siambun daripada PKR adalah adun pertama kali selepas menang pilihan raya umum ke-13 pada tahun lalu untuk DUN Moyog. Sejak menjadi wakil rakyat, Siambun dilihat sebagai lantang memperjuangkan rintihan penduduk yang membantah pembinaan empangan Koiduan.

Pertikaman lidah sering berlaku di antara Siambun dan Pairin. Siambun dalam perbahasan Bajet 2014, mendesak presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu melepaskan gelaran ‘Huguan Siou’ kerana beliau mengabaikan rintihan masyarakatnya sendiri iaitu kaum Kadazandusun dan Murut.

Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menegaskan bahawa empangan itu adalah perlu untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air di pantai barat Sabah yang dijangka berlaku pada 2015.

Tanpa menyatakan nama, kementerian Pairin yang bertanggungjawab secara langsung dalam projek itu berkata, ada pihak sengaja membangkitkan emosi di kalangan komuniti orang asal, terutama KDM supaya membantah projek itu.

“Saya merayu kepada semua orang supaya tidak mengaitkan isu ini dengan masyarakat KDM kerana kami hanya mahu melindungi kepentingan semua kumpulan etnik, termasuk KDM, dengan menyediakan bekalan air yang mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun pengkritik projek mega itu menolak pujukan Pairin yang mengatakan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan mereka yang terjejas akibat projek itu nanti tidak akan diabaikan.

Penduduk tidak terpancing dengan jaminan itu, malah mereka menuduh Pairin membelakangkan kepentingan orang-orang yang mengangkatnya sebagai Huguan Siou, yang bermakna pemimpin agung.

Bantuan alam semangat

Terbaru, dalam kehampaan para aktivis alam, penduduk dan pengkritik terhadap projek itu, mereka mengadu kepada alam semangat untuk membantu mereka mempertahankan wilayah tanah adat daripada menjadi korban pembangunan rakus dengan menyembelih 10 ekor ayam.

Save Ulu Papar berkata, kira-kira 70 orang menyaksikan upacara tradisi yang dijalankan di tepi sungai Papar di Kampung Timpayasa, Penampang, terletak tidak jauh dari tapak pembinaan dinding empangan.

Upacara itu dihadiri pelbagai komuniti termasuk Ulu Papar, Partner for Community Organisation-PACOS, Jaringan Orang Asal Semalaysia-JOAS dan banyak lagi yang membantah cadangan pembinaan empangan itu. Mereka datang untuk memberikan sokongan.

Upacara ritual ini dikenali sebagai “Tagal Hutan” yang disempurnakan oleh ‘bobohizan’ (bomoh) khas daripada suku kaum Sungai Lobu di daerah pedalaman Keningau.

Tagal Hutan adalah satu upacara meminta bantuan kepada Tuhan dan semangat alam semulajadi untuk menjaga kawasan alam sekitar daripada dirosakkan serta memastikan penceroboh dapat dihalang di sesebuah wilayah adat.

”Bagi seluruh komuniti di Ulu Papar, upacara ini sangat penting kerana untuk menjaga alam sekitar daripada dimusnahkan, manusia perlu mempunyai hubungan secara spiritual dengan alam semulajadi,” kata Galus Ahtoi, Penyelaras Program Hak Tanah, Pacos Trust.

Selain itu katanya, upacara ini juga bertujuan untuk mengukuhkan komitmen dan semangat penduduk Ulu Papar untuk terus berjuang membantah empangan Koiduan demi untuk kehidupan dan generasi akan datang.

Upacara ini selalunya membabitkan penyembelihan sehingga 10 ekor ayam. Hasil daripada upacara ini ialah insiden malang menimpa pihak yang menceroboh kawasan yang dilindungi penduduk kampung.

Ulu Papar adalah antara hutan tropika yang tertua dan mempunyai kepelbagian hayat yang sangat kaya di dunia. Hutan ini juga memberikan sumber kehidupan kepada komuniti Ulu Papar sejak berdekad lamanya.

Namun, ramai pengkritik mendakwa kerajaan Sabah menerusi Pairin menggunakan isu pembangunan sebagai alasan untuk menceroboh kawasan milik orang asal dan tidak prihatin untuk melindungi harta alam semulajadi.

Mereka juga lebih bimbang, memandangkan keluasan yang bakal ditenggelamkan oleh empangan Koiduan, ia akan membinasakan semua kekayaan yang ada.

”Pembangunan tidak seharusnya selalu mengorbankan kehidupan komuniti, harta alam yang memberikan sumbangan besar untuk mengurangkan perubahan iklim. Sesuatu pembangunan yang dibuat kerajaan harus prihatin dengan melindungi alam sekitar serta kehidupan komuniti,” kata Galus.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.