Anak dilarikan gara-gara roti canai

Tuesday 8 April 2014

pencuri, kereta, anak, roti canai
Kereta ditemui orang awam
KOTA KINABALU: Gara-gara meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin masih hidup untuk membeli roti canai pagi tadi, seorang ibu cemas apabila kereta Toyota Vios miliknya itu dilarikan pencuri dengan anaknya masih berada di dalam kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi wanita berusia 43 tahun itu dipercayai singgah di sebuah restoran berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, dekat sini, untuk membeli roti canai dan meninggalkan anak lelakinya berusia 8 tahun yang masih tidur di dalam kenderaan.

Bagaimanapun, ketika kembali semula ke tempat letak kereta, wanita mendapati kenderaan telah hilang bersama anak lelakinya. Panik dengan keadaan itu, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada suaminya sebelum kedua mereka membuat laporan polis.

Pasangan terbabit turut meminta pertolongan orang awam menerusi laman sosial Facebook dan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang kemudiannya disebarkan secara meluas.

Kira-kira sejam kemudian, pasangan terbabit mampu menarik nafas lega apabila kenderaan mereka berjaya ditemui semula termasuklah anak mereka yang masih tidur di dalam kereta berkenaan.

Kereta itu ditemui oleh orang awam yang terpaksa mengetuk tingkap kenderaan bagi mengejutkan kanak-kanak berkenaan sebelum menghantarnya ke balai polis berhampiran. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat namun pihak kami sedang giat melakukan siasatan bagi memburu suspek yang terbabit,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 363 kanun yang sama kerana melarikan orang di bawah penjagaan yang sah.

Sehubungan itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin masih hidup, lebih-lebih lagi jika ada kanak-kanak di dalam kenderaan.

“Kejadian seperti ini sudah pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, namun, masih ada pihak yang memandang ringan dengan tidak mengutamakan aspek keselamatan ketika meninggalkan kenderaan.

“Ianya bukan sahaja memberi peluang kepada penjenayah tetapi juga membahayakan kanak-kanak terbabit kerana dia mungkin akan bermain-main dan cuba memandu kenderaan terbabit,” katanya. – WB

Borneo Insider

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.