Pemimpin Negara Hanya Pandai Berkata-Kata

Thursday 10 April 2014

Sabah bakal kehilangan RM6.35 bilion hasil pelancongan yang dicatat pada 2013 jika jenayah rentas sempadan/penculikan berterusan.

Culik, Sabah, Semporna, ESSCOM, Najib Razak

Sudah tiba masa bagi kerajaan memberi perhatian serius terhadap soal keselamatan yang mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat, terutamanya di Sabah.

Apabila berita tentang insiden penculikan di Singamata Reef Resort di Semporna pada 2 April sampai ke telinga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau mengakui ia perkara serius. Jika ketua eksekutif negara berkata begitu, rakyat sudah tentu menjangka perhatian dan tindakan cepat dari pihaknya. Keadaan genting perlu ditangani secepat mungkin.

Setakat ini kita tidak dapat melihat apa-apa. Sebaliknya, badan legislatif negara yang bertindak pantas. Kita beri pujian kepada Tan Sri Pandikanr Amin, Speaker Parlimen yang membenarkan usul kecemasan bagi membincangkan keselamatan pantai timur Sabah pada 7 April.

Perdana Menteri, timbalan, menteri pertahanan dan menteri dalam negerinya bagaimanapun tidak terlibat di dalam perdebatan secara aktif. Mereka mengharapkan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau tidak dapat menjawab isu utama yang dibangkitkan ahli parlimen tentang keberkesanan Esscom, resort peranginan yang menggaji pendatang tanpa izin, kelewatan mengeluarkan laporan suruhanjaya siasatan DiRaja dan cadangannya, serta keperluan mendirikan pengkalan tentera di perairan Sabah bagi mengetatkan kawalan.

Telah dibuktikan bahawa kata-kata jaminan bagi keselamatan Sabah tidak diiringi dengan tindakan. Datuk Mohammad Mentek, ketua pengarah Esscom di dalam perutusan ulangtahun pertama Esscom memberi jaminan Esscom dan agensi berkaitan akan sentiasa bersedia berdepan pelbagai ancaman, termasuk pencerobohan dan aktivi pengganas.

Janji itu dibuat pada 1 April dan beliau tidak menepatinya apabila penculikan berlaku keesokan harinya di daerah Semporna, di resort yang berhanpiran pekan dan hanya 15 minit perjalanan. Jika Esscom bersedia, sudah tentu serangan tujuh lelaki bersenjata itu dapat dipatahkan.

Ia mencerminkan kegagalan pihak keselamatan memintas penculik bersenjata yang berjaya melarikan diri ke selatan Filipina selepas menyerbu resort tersebut. Industri pelancongan salah satu tonggak ekonomi Sabah terjejas tentang kekerapan kejadian seperti itu di kalangan warga asing. Rancangan membawa pelancong China ke sini tergendala.

Menurut menteri pelancongan, budaya dan persekitaran Sabah Datuk Masidi Manjun, Sabah bakal kehilangan RM6.35 bilion hasil pelancongan yang dicatat pada 2013 jika keadaan ini berterusan.

Jumlah pelancong daripada China serta Hong Kong melonjak 87% tahun lalu. Namun, kesan serius bakal dirasai selepas kejadian penculikan di Singamata Reef Resort yang melibatkan pelancong warga China.

Penolong Masidi, Datuk Pang Yuk Ming percaya penculikan Gao Hua Yuan, 29 tahun, dan Marcy Dayawan (pekerja Filipina), 40 tahun, akan memberi kesan buruk terhadap industri pelancongan tempatan berbanding episod kehilangan MH370.

Beliau berkata insiden iti juga menggugat kehadiran pelancong dari Amerika Syarikat dan Eropah. Mereka gemarkan persekitaran bersih, alam semula jadi, laut, pulau dan tempat menyelam serta Gunung Kinabalu. Kerajaan wajib memberikan jaminan keselamatan bagi memelihara aset yang memberi pulangan lumayan kepada negeri dan negara.

Itu sebabnya Timbalan Menteri dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar cadangan agar resort di pulau kecil di pantai timur Sabah ditutup berikutan insiden penculikan ini ditempelak pelbagai pihak. Cadangan beliau seakan mahu membunuh itek angsa yang bertelur emas hanya kerana sebiji dua telur dilarikan akibat kecuaian menjaganya dari ancaman pencuri.

Insiden Singamata berlaku lima bulan selepas kes di Pulau Pom Pom pada 15 Nov dan ia bukan kejadian yang terasing. Keganasan yang dilakukan lanun di bumi Sabah ini menyebabkan ketakutan bagi semua warga Sabah, baik yang tinggal di pesisir pantai atau di bahagian-bahagian lain.

Malah taukeh balak juga mula risau. Datuk James Hwong, presiden persatuan pembalakan Sabah yang tinggal di Kota Kinabalu memberitahu akhbar tempatan, “penculik dengan mudah menceroboh resort dan menawan sesiapa saja. Apabila pelancong tiada kelak, mereka bakal menawan orang tempatan.”

Bukankah sudah tiba masanya bagi perdana menteri melawat Sabah sekali lagi dan menyelesaikan kemelut ini? Adakah beliau terlalu sibuk melawat negara-negara lain bagi berterima kasih kepada mereka secara peribadi di dalam misi membantu mencari MH370?

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.