Sembunyi Maklumat Punca Ketirisan Berleluasa

Tuesday 15 April 2014

Antara faktor penyelewengan dan rasuah terus berlaku ialah ketidakcekapan pegawai kerajaan bagi semua bidang pentadbiran termasuk komunikasi dan penyebaran maklumat dan setiap maklumat dianggap sensitif dan perlu dirahsiakan seperti yang berlaku dalam pengendalian kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.


NGO pemerhati rasuah hari ini mendesak Putrajaya mengambil tindakan tegas terhadap ketirisan penyalahgunaan wang pembayar cukai seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013.

Pengasas Pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, berkata hukuman perlu dikenakan terhadap salah laku yang menyebabkan penyelewengan sekiranya kerajaan serius dalam menangani isu rasuah di negara ini.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara membuktikan kelemahan dan ketidakcekapan kerajaan dalam menguruskan wang rakyat malah sejak daripada pendedahan pertama pada 2013, rakyat dikejutkan dengan pembaziran wang pembayar cukai berulang kali tanpa tindakan diambil.

"Adalah penting untuk mengakui setiap projek tersebut dimulakan oleh kerajaan selaras dengan keperluan kementerian yang berkaitan, namun kerana kelemahan pengurusan dan pelaksanaan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah secara berterusan.

"Rakyat Malaysia tidak boleh berdiam diri lagi dan hanya merungut apabila pendedahan ketirisan dilakukan hanya kerana ia ada unsur politik. Tindakan tegas mesti diambil terhadap salah laku berkenaan dan penyelewengan perlu dihentikan dari peringkat bawahan hingga pengurusan tertinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Cynthia berkata, antara faktor penyelewengan dan rasuah terus berlaku ialah ketidakcekapan pegawai kerajaan bagi semua bidang pentadbiran termasuk komunikasi dan penyebaran maklumat dan setiap maklumat dianggap sensitif dan perlu dirahsiakan seperti yang berlaku dalam pengendalian kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Katanya, budaya itu perlu diubah dengan menanamkan usur ketelusan dalam pemikiran pegawai kerajaan dan mereka harus mengetahui setiap tindakan sentiasa diperhatikan dan sebarang salah laku boleh menyebabkan mereka dikenakan hukuman.

"Dengan meningkatkan kesedaran terhadap ketelusan ini akan mewujudkan budaya lebih berhati-hati dan lebih terbuka selain takut sekiranya dituduh melakukan penyelewengan," katanya.

NGO itu turut menyenaraikan beberapa pendedahan ketirisan kementerian dalam Laporan Ketua Audit Negara iaitu projek pembinaan empangan Paya Peda, di Besut, Terengganu oleh Kementerian Pertanian dan Insdustri Asas Tani; pengurusan bekalan makanan hospital serta pengurusan program pemulihan kanak-kanak kekurangan zat makanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan bagi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Bahagian Petroleum (LHDNM).

Mengulas mengenai ketirisan dalam projek tersebut, beliau berkata, masalah utama membabitkan dua situasi iaitu pengurusan tenaga kerja tidak efektif kerana tiada pemantauan dilakukan sepanjang ia berjalan.

Katanya, perkara itu mencerminkan kelemahan sikap pegawai kerajaan dalam seluruh perkhidmatan awam.

"Pelantikan kakitangan tidak layak cenderung untuk membawa kepada pengurusan yang lemah selain menyebabkan rasa tidak puas hati dan menurunkan moral kakitangan. Ini membawa kepada keseluruhan semangat pasukan yang lemah dan menjejaskan etika kerja," katanya.

Katanya, sistem pemantauan lebih baik diperlukan dan ia mesti diuruskan oleh kakitangan yang terdiri daripada golongan profesional dan berkebolehan.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.